• newsatmy

KKM kongsi tip 'self lockdown', netizen beri sokongan

20 Mei 2021

DENGAN kes COVID-19 harian mencecah 6,075 pada Rabu, tertinggi sejak pandemik itu bermula tahun lalu, orang ramai diharap semakin berwaspada melindungi diri serta keluarga daripada jangkitan virus maut berkenaan.


Antara yang paling berkesan serta sering ditekankan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, adalah tinggal di rumah selain patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


Baru-baru ini, beliau menyarankan rakyat supaya mengambil langkah proaktif melakukan sekatan pergerakan kendiri atau 'self lockdown' bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.


Seiring saranan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laman Facebook dan Twitter malam tadi, berkongsi tip yang perlu dilakukan untuk orang ramai melakukan sekatan pergerakan kendiri.


"Ke pasar atau grocery untuk beli barang keperluan seminggu sekali. Isi minyak kenderaan tangki penuh.


" Solat berjemaah lima waktu bersama ahli keluarga. Optimumkan pembelian secara dalam talian. Zero tetamu," demikian perkongsian KKM.


Sehingga tengah malam tadi, entri tip berkenaan di Facebook dikongsi sebanyak 6,200 kali manakala ciapan di Twitter diulang ciap sebanyak 5,600 kali.


Malaysia merekodkan 6,075 kes COVID-19 pada Rabu, tertinggi sejak pandemik itu bermula tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara setakat ini ialah 485,496 kes.


Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,251 kes, diikuti Johor (699), Kuala Lumpur (660), Kelantan (441) dan Sarawak (323).


Dalam pada itu, terdapat pertambahan sebanyak 46 kes kematian baharu menjadikan jumlah kes kematian secara keseluruhannya kini 2,040 kes.


-Astro Awani