top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

KKM, Nadma rangka SOP banjir semasa Covid-19

30 NOVEMBER 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah merangka dan mengeluarkan senarai prosedur operasi standard (SOP) banjir semasa pandemik Covid-19, menjelang musim tengkujuh akhir tahun.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata SOP yang disediakan kementerian dan Nadma adalah garis panduan keselamatan dan nasihat berjaga-jaga mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sekiranya banjir dan pengurusan banjir.


"Bencana alam seperti banjir semasa pandemik menimbulkan cabaran berbeza dalam situasi Covid-19, bagi kedua-dua mangsa dan pihak berkuasa. Kita mesti menggunakan amalan baharu dan sistematik dalam proses menyelamat, pemindahan dan menempatkan mereka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tanpa mendedahkan sesiapa kepada risiko Covid-19," katanya.


Dr Noor Hisham berkata dalam situasi semasa ketika negara pulih daripada pandemik, sebarang jenis bencana alam boleh memburukkan lagi keadaan Covid-19 sekarang.


“Berdasarkan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia pada 1 Nov, beberapa negeri berdepan risiko banjir monsun bermula 3 Nov hingga Mac tahun depan, justeru memerlukan SOP pengurusan banjir baharu.


"Sekiranya berlaku banjir dan pemindahan diperlukan, pihak berkuasa perlu memastikan mangsa banjir disaring Covid 19 sebelum mereka ditempatkan di mana-mana pusat pemindahan sementara," katanya dalam satu kenyataan petang ini.


Beliau berkata mereka yang mempunyai simptom dan faktor risiko kesihatan juga akan diasingkan, diuji dan diletakkan secara berasingan sehingga keputusan disahkan negatif.


“Sesiapa yang mempunyai simptom dikehendaki membuat ujian saringan bagi mengelak berlakunya kluster baharu dalam kalangan mangsa banjir di mana-mana PPS.”


Dr Noor Hisham berkata individu yang disahkan dijangkiti akan diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) Berisiko Rendah Covid-19, PPS khas atau dirujuk ke hospital jika perlu.


Beliau berkata, kenalan rapat individu atau mereka yang disenaraikan sebagai Pesakit Dalam Pengawasan (PUS) juga akan dikuarantin di PPS atau PPS Khas yang sama tetapi di blok berbeza.


"Perkara yang sama berlaku kepada sesiapa yang mempunyai simptom tetapi ujian negatif untuk Covid-19. Mereka juga akan dikuarantin secara berasingan," tambah Dr Noor Hisham.


Beliau menggesa mangsa banjir yang memerlukan pemindahan atau tempat perlindungan sementara di PPS supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dan mematuhi SOP pengurusan banjir pada setiap masa, bagi memastikan tiada kluster baharu muncul di pusat pemindahan.


“Mangsa banjir dan petugas kecemasan diwajibkan sentiasa memakai topeng muka, menjaga jarak selamat, mengelak berkumpul dan kerap mencuci tangan, terutama jika anda berkongsi kemudahan awam.


"Bagi golongan berisiko tinggi seperti wanita hamil, warga emas, serta mereka yang menghidap penyakit kronik, beliau mencadangkan agar mereka dipindahkan lebih awal. Pastikan anda mempunyai ubat-ubatan yang diperlukan," katanya.


Dr Noor Hisham berkata orang ramai juga harus peka dengan keadaan semasa dan menjaga kebersihan dan keselamatan semasa banjir bagi mengelak penyakit lain yang dibawa oleh banjir.


“Mereka harus mengelak daripada bermain air banjir terutama jika mereka mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelak risiko Leptospirosis (jangkitan air kencing tikus) dan Melioidosis yang berjangkit melalui air banjir yang tercemar.


“Individu juga dinasihatkan menggunakan alat pelindung diri seperti kasut dan sarung tangan getah semasa melakukan aktiviti pembersihan terutama jika melibatkan banjir lumpur, pastikan sumber air minuman direbus terlebih dahulu bagi mengelakkan penyakit bawaan air dan Keracunan makanan, Taun, Kepialu, Hepatitis A, dan Gastroenteritis Akut (AGE)," katanya.

bottom of page