• newsatmy

KM Pulau Pinang mohon maaf berhubung kontroversi scam 2 juta vaksin

22 Mei 2021

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini memohon maaf susulan kontroversi berhubung scam vaksin Covid-19 dan berkata pihaknya akan memberi kerjasama dengan pihak polis berhubung isu tersebut.


Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini Chow berkata kerajaan Pulau Pinang berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa di samping memberi tumpuan dalam memperoleh bekalan vaksin bagi permintaan rakyat negeri tersebut.


“Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kerana tercetusnya kontroversi ini.


“Memandangkan menteri Khairy Jamaluddin telah mendakwa bahawa sumbangan tersebut adalah ‘scam’ dan laporan polis telah dibuat terhadap isu tersebut.


“Saya bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.


Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini dibidas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang menjelaskan kerajaan negeri itu tertipu dengan sebuah scam palsu kononnya ia menerima tawaran sebanyak dua juta dos vaksin percuma daripada sebuah syarikat.


Menurut Khairy, pihaknya menyemak mengenai tawaran dan syarikat yang dimaksudkan namun mendapati syarikat tersebut sebenarnya tidak wujud.


“Saya ulangi sekali lagi hari ini. Sumbangan atau tawaran ini palsu. Lihat surat tawaran ini, letterhead syarikat pun tiada,” katanya pada satu sidang media dalam talian 19 Mei lalu.


“Saya bertanggungjawab terhadap pembelian vaksin di Malaysia, jadi saya tahu dari mana bekalan didapatkan.”


Terdahulu, bekas ketua menteri Pulau pinang Lim Guan Eng mendesak Chow untuk menerima tawaran itu, dan menyelar kerajaan pusat kononnya menyekat tawaran sumbangan kepada negeri tersebut.


Namun, susulan pendedahan Khairy, Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata beliau sedia meminta maaf di atas keterlanjuran menyelar Khairy.


“Sekiranya apa yang dikatakan oleh Khairy benar, maka saya bersedia meminta maaf,” katanya semalam.


-MalaysiaKini