top of page
  • newsatmy

Kmy Kmo, Luca Sickta duet dengan bintang rock

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Besar misi duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta merakam single dengan bintang legenda bagi memperkenalkan peminat millennial ikon industri muzik tempatan.


Mengaku hanya tinggal seorang lagi bintang ternama yang bakal menjalin kerjasama dengan mereka, Kmy Kmo dan Luca Sickta mengimpikan semua single dirakam, digabungkan dalam album legenda buat hiburan generasi muda.


Setakat ini, dua sahabat ini sudah merakamkan single dengan 'sifu' muzik, Datuk M Nasir menerusi lagu Zuhud, diikuti Datuk Seri Siti Nurhaliza (7 Nasihat) dan Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah (Neraca).


Kmy Kmo berkata, mereka akan bekerjasama dengan seorang penyanyi rock popular bagi menyudahkan senarai bintang ternama yang terpilih dalam projek besar itu.


Luca Sickta (kiri) dan Kmy Kmo mahu menghasilkan album legenda buat rujukan anak muda. Foto IG Kmy Kmo


"Senarai bintang sudah sampai ke penghujung. Apabila siap projek terakhir, kami akan melancarkan album," katanya kepada BH Online.


Kmy Kmo atau nama sebenar, Lukmanul Hakim berkata, album legenda itu dihasilkan bagi mengetengahkan muzik nusantara dan keaslian karya tempatan kepada generasi muda.


"Kami mahu bawa warna-warni muzik nusantara kepada generasi muda. Saya fikir ada dalam kalangan anak muda tidak kenal Jamal, M Nasir, Hijjaz dan sebagainya.


"Lalu, apabila kami lancarkan lagu dengan bintang ini, ramai akan bertanya... Itulah sasaran kami.


"Kami mahu ketengahkan apa yang didengari ketika membesar. Daripada apa yang kami dengar dahululah yang memberi ilham kepada kami untuk menghasilkan muzik.


"Biarpun kami penyanyi hip hop, kami tidak boleh lari daripada muzik kemelayuan," katanya.

Berkongsi perancangan masa hadapan, Kmy Kmo berkata, sebaik album legenda siap dirakam, mereka akan beralih kepada penyanyi 'Gred A' pula.


"Pada masa sama, kami akan melancarkan projek bersama penyanyi baharu yang berbakat dan memiliki vokal bagus," katanya.


Sementara itu, Luca Sickta atau nama sebenar, Shameer Ashraf Shahruddin berkata, mereka sudah lama mengimpikan projek kolaborasi bersama bintang nama besar.


"Kami menghasilkan muzik sejak zaman sekolah. Dari dahulu lagi kami bercita-cita bekerjasama dengan penyanyi legenda," katanya. - BHarian

Comments


bottom of page