• newsatmy

KoFi permudah salur dana

26 April 2021

KUANTAN: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turun padang dalam usaha mengurangkan birokrasi permohonan dana Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA).


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata antara langkah dilakukan adalah program Komuniti@Finas (KoFi) di mana dana dapat disalurkan lebih cepat kepada bakat baharu untuk menghasilkan kandungan kreatif seperti video pendek dan dokumentari platform digital.


"Melalui KoFi, kita bercadang turun ke setiap negeri dengan menganjurkan bengkel kepada pemohon sebelum mereka melakukan 'pitching' (pembentangan idea) kepada FINAS disusuli proses penilaian dan pemberian surat tawaran dana.


"Tempoh pelaksanaan juga boleh berlaku sekitar tiga minggu yang mana sebelum ini, proses berkenaan sekurang-kurangnya mengambil masa tiga bulan.


"Ini antara kaedah kita mempercepat dan memudahkan proses pengeluaran dana.


"Langkah ini dibuat selepas kita belajar daripada pengalaman lalu yang menyaksikan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sebanyak RM550 juta bagi dana kandungan kreatif tidak habis digunakan sehingga berbaki separuh," katanya.


Saifuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan surat tawaran Mikro PRISMA Dana Kandungan Digital (DKD) sempena Program Outreach Bahagian Pengurusan Produksi FINAS kepada 116 individu bernilai RM1.5 juta di sini, kelmarin.


Yang turut hadir, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nazri.


Selain itu, Saifuddin menggalakkan pemain industri kreatif menghasilkan filem kenegaraan yang mengetengahkan elemen peradaban dan keagamaan bagi tujuan mempromosikan Malaysia.


- BERNAMA