top of page
  • cik skod

Konsert ulang tahun ke-25 kugiran Padi di Zepp KL Dis ini


KUALA LUMPUR,01 Okt: Sempena ulang tahun jubli perak kugiran popular Indonesia, Padi Reborn, kugiran tersebut bakal meraikan bersama para peminat dan penggemar muzik pada 3 Disember 2022 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert 25 Tahun Padi Reborn dibawakan sekali lagi oleh Qew Communications Sdn Bhd (Qew Comm), penganjur sama yang membawa kugiran tersebut ke Malaysia beberapa tahun lalu, lapor Astro Gempak. “Ini adalah sebuah kesempatan yang mengujakan buat seluruh anggota Padi Reborn kerana akan meraikan perjalanan dan ulang tahun jubli perak kami yang ke-25 di Malaysia." “Terima kasih kerana masih mahu berjalan harmoni dengan Padi Reborn lagi,” ujar pengasas serta pemain gitar Padi Reborn, Piyu, menurut Astro Gempak. Selain Piyu yang turut menghasilkan sebilangan besar lagu kumpulan itu, Padi Reborn turut dibarisi vokalis, Fadly, Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram). Sebelum menggunakan nama Padi Reborn, lima karyawan seni itu memulakan langkah awal dalam dunia hiburan dengan nama Padi pada sekitar tahun 1997. Album Lain Dunia yang dipasarkan setahun kemudian meledak, mengutip lebih 800 ribu unit jualan dan menyemarakkan nama Padi sebagai antara kugiran terbaik di Indonesia. Dua tahun selepas kelahiran album Lain Dunia, mereka kembali dengan album "Sesuatu Yang Tertunda" pada tahun 2001 dan laris terjual sebanyak 1.6 juta unit dan meraih 10 kali platinum pada 2002. Pada 2003, Padi melancarkan album "Save My Soul" dan dilanjutkan dengan satu lagi album pada tahun 2005 dan 2007. Selepas menyepi daripada industri hiburan selama tujuh tahun, Padi kembali dengan semangat baru dengan penampilan sebagai Padi Reborn. Sekembalinya mereka ke industri hiburan pada tahun 2017, Padi Reborn melahirkan album "Indera Keenam (2019)" serta karya yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Dengan pelbagai anugerah yang diraih, perjalanan panjang selama 25 tahun yang direntasi, Konsert 25 Tahun Padi adalah sesuatu yang tidak wajar ditunda atau ditinggalkan para peminat kugiran tersebut.

Sumber : Agensi berita/SS/ss

bottom of page