top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Konvoi PM diberi keutamaan berbanding ambulans untuk mengelakkan risiko kemalangan, kata polis

27 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengutamakan konvoi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada memberi laluan kepada ambulans di Hulu Langat baru-baru ini dibuat bagi "mengurangkan risiko kemalangan jalan raya".


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (TEID) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata ini adalah mengikut Peraturan 9 LN166/1959 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Beliau berkata kakitangan TEID sentiasa diarahkan untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan yang membawa pesakit.


Bagaimanapun dalam kes semalam, pegawai yang bertugas telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan ambulans "untuk tempoh yang singkat" ketika kenderaan utama konvoi itu menghampiri simpang.


“Kami menyedari video tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta empat roda dan ambulans bulan sabit merah dihentikan di satu simpang bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi polis trafik.


“Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi semalam ketika konvoi perdana menteri dalam perjalanan dari Taman Sri Nanding ke masjid Al-Mustaqqim untuk meninjau kerja-kerja pembersihan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir.


“Berdasarkan video itu, sekiranya pegawai trafik memberi keutamaan kepada dua kenderaan yang hendak membelok ke jalan utama, itu akan menimbulkan risiko kemalangan dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” kata Azman dalam satu kenyataan hari ini.


Azman berkata, sebaik konvoi melepasi simpang itu, pegawai trafik segera memberi laluan kepada dua kenderaan termasuk ambulans, selepas memastikan tiada risiko kemalangan.


"Polis (trafik) sentiasa peka dan komited untuk mengutamakan kepentingan awam, terutamanya apabila tugas itu melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan seperti ambulans dan jentera bomba."



Comments


bottom of page