Kopratasa rakam semula lagu Selamat Hari Raya ciptaan tahun 1936
4 Mei 2021
TRIO Kopratasa merakam kembali lagu Selamat Hari Raya ciptaan Tengku Ali Basha atau Cik Ara Bangsawan yang dipercayai lagu raya pertama di Nusantara.
Lagu Selamat Hari Raya itu dipercayai dicipta pada 1936, telah membuka sejarah pada sambutan hari raya pada zamannya.
Kopratasa yang dianggotai oleh Usop, Sani Sudin dan Siso berpendapat, adalah merugikan sekiranya lagu ini dibiarkan lenyap ditelan zaman tanpa sebarang usaha merakamkannya kembali.
"Berdasarkan kepada pepatah ‘ Yang buruk (lama) diperbaharui, Yang usang dikajangi’, Kopratasa merasakan merakamkan semula lagu tersebut merupakan satu aktiviti melestarikan satu khazanah lama untuk tatapan semula generasi terkini.
"Kopratasa telah mencadangkan kepada pihak Luncai Emas untuk merakam semula lagu ini.
"Persetujuan dicapai dan syarikat telah memberi kepercayaan kepada Hanafi Spider sebagai produser dan kerja menyusun semula muzik lagu ini," kata Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagi memberikan mood baharu kepada lagu ini, Kopratasa telah menambah sedikit melodi baru di bahagian korus lagu ini dan menyanyikannya dengan cara mereka sendiri.
"Biarpun rakaman semula lagu raya tersebut terdapat tambahan melodi, ia bukanlah bertujuan merosakkan lagu tersebut, tapi bertujuan memeriahkan lagi melodi tersebut untuk menepati konsep bergembira di hari raya.
"Namun, inovasi melodi tersebut tidak menganggu nilai asal lagu tersebut. Melodi asal tetap dijaga, seni katanya pun tetap dipakai seperti yang asal," tambah Keon.
Rakaman lagu berkenaan dibuat di Studio Ronggeng, Luncai Emas dengan pemuzik undangan - Tony Iskandar (bass), Mohar (seruling) dan Hanafi Spider sendiri.
Kopratasa sangat berharap dengan lagu ini dapat diterima dan memberi sesuatu yang unik sempena sambutan lebaran tahun ini.
-Astro Awani
Comentarios