• admin

Kos hampir RM2 bilion jika PRU berasingan-Mustapa


JELI,25 Sept: Pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dibuat serentak akan menyusahkan rakyat dan meningkatkan kos perbelanjaan pilihan raya hampir dua kali ganda.


Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, rakyat akan terkesan sekiranya terpaksa balik mengundi dua kali dan pada masa sama meningkatkan perbelanjaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hampir dua kali ganda sekiranya pilihan raya Parlimen dan DUN berlangsung secara berasingan.


"Kos akan jadi dua kali ganda, kalau pilihan raya umum belanjanya contoh RM1 bilion, kalau DUN berasingan pilihan raya sekali lagi, belanja jadi hampir RM2 bilion.

"Kedua, adakah rakyat yang berada di luar akan pulang mengundi kali kedua, ini melibatkan belanja rumah dan keluarga, dua kali pulang nak mengundi.


"Ketiga, menyebabkan ketegangan dan ketidakstabilan dalam masyarakat kerana pemimpin berceramah, berpolitik untuk kempen pilihan raya sehingga mengabaikan tumpuan memulihkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar cemerlang peringkat Parlimen Jeli di sini hari ini.


Sebelum ini Pas menegaskan negeri-negeri yang dikuasainya di Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak akan membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubarkan tahun ini.


Ini kerana tempoh tamat penggal DUN di tiga negeri berkenaan berakhir antara Jun dan Julai tahun depan.


Pas menegaskan tiada keperluan untuk membubarkan DUN sekiranya UMNO masih berusaha meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada tahun ini.


Media sebelum ini melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO tetap konsisten agar pilihan raya perlu diadakan segera berdasarkan mood dan kehendak akar umbi yang mahukan Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi membolehkan mandat dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penentuan.