• newsatmy

Kossan Rubber untung bersih RM1.04 bilion

21 April 2021

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Kossan Rubber Industries Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 melonjak kepada RM1.04 bilion berbanding RM64.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.


Perolehan hasil juga meningkat ketara sebanyak 258.51 peratus kepada RM2.19 bilion bagi suku di bawah kajian daripada RM611.46 juta sebelumnya, didorong oleh peningkatan sumbangan bahagian sarung tangan getah, demikian menurut kenyataan pengeluar sarung tangan getah itu kepada Bursa Malaysia pada Selasa.


"Bahagian sarung tangan mencatat perolehan hasil sebanyak RM2.09 bilion bagi suku pertama 2021 iaitu pertambahan sebanyak 281.75 peratus daripada RM548.25 juta pada suku sama tahun lalu.


"Pengukuhan prestasi bahagian itu yang menyumbang masing-masing 95 peratus dan 98 peratus daripada hasil dan keuntungan sebelum cukai kumpulan pada suku pertama 2021, didorong terutama oleh purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi," katanya.


Mengulas prospek, Kossan Rubber menjangkakan permintaan terhadap sarung tangan getah bagi tempoh pasca-pandemik akan terus mencatat pertumbuhan kukuh susulan peningkatan piawaian penjagaan kesihatan dan kesedaran kebersihan di sektor perubatan dan bukan perubatan.


"Oleh itu, walaupun ASP diunjurkan menyederhana apabila ketidakseimbangan tawaran dan bekalan kian berkurangan, permintaan sebaliknya akan terus melebihi paras sebelum pandemik COVID-19," katanya.


-BERNAMA