top of page
  • newsatmy

KPLB salur RM410.8 juta bantu RISDA

12 April 2021


Abdul Rahman (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek program pembangunan RISDA negeri Pahang kepada Paizah Imat wakil pekebun kecil.


LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan sebanyak RM410.8 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk dimanfaatkan dalam pelbagai program yang dilaksanakan di bawah agensi tersebut.


Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan itu membabitkan Program Kawasan Bertanam Getah, Peningkatan Produktiviti dan Pembangunan serta Pembangunan Hasil Baharu.


Menurut Abdul Rahman, jumlah tersebut selaras dengan sasaran RISDA terhadap 552,543 pekebun kecil yang menerima bantuan melalui program tanam semula getah agar mampu mencapai pendapatan seisi rumah sebanyak RM4,500 sebulan pada tahun 2025.


“Buat masa ini jumlah pendapatan seisi rumah pekebun kecil mencecah RM3,800 sebulan hasil bancian yang dilakukan pada Disember tahun lalu.


“Untuk mencapai sasaran tersebut, ia bukan bergantung kepada getah semata-mata sebaliknya RISDA turut menggalakkan pekebun kecil melakukan aktiviti ekonomi tambahan seperti penanaman kontan dan penternakan serta sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Majlis Pekebun Kecil Makmur RISDA Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis pada Ahad.


Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal dan Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.


Abdul Rahman berkata, menerusi program tanam semula getah, RISDA menyasarkan pembangunan seluas 91,693 hektar, 50 projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) dan 574 hektar kebun untuk bantuan input pertanian dapat dicapai tahun ini.


“Bagi tujuan kemakmuran pekebun kecil di Pahang pula, sebanyak RM63.3 juta disediakan membabitkan Program Pembangunan RISDA yang akan memberi manfaat kepada 67,232 orang.


“Sebanyak RM3.14 juta pula akan disalurkan untuk bentuk komponen kawalan dan pencegahan penyakit untuk ladang-ladang mereka yang terkesan seluas 3,112 hektar,” katanya.


Sementara itu, Abdullah menghargai komitmen dan sokongan KPLB yang dapat membantu dan memantau RISDA mencapai sasaran tersebut.“Terima kasih kepada KPLB yang banyak membantu RISDA dengan pelbagai peruntukan yang disalurkan kepada pekebun kecil di negara ini,” katanya.


Dalam majlis sama, turut dilaksanakan pengagihan zakat korporat bernilai RM395,000 hasil daripada keuntungan ladang.Seramai 1,259 asnaf terdiri daripada pekebun kecil seluruh Pahang menerima manfaat daripada zakat itu. -Sinar Online



bottom of page