Arissa Azman
KPM bakal lantik 18,702 guru secara one-off
20 Jun 2021

Satu sidang media telah diadakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, pagi ini, berkaitan dengan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Isu yang dibangkitkan ialah isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lamanya.
Isu ini telah banyak kali dibangkitkan dan dibincangkan, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneliti perkara-perkara ini satu persatu dengan cukup mendalam.
Cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kurangnya bekalan calon guru di Institusi Pengajian Guru (IPG) apabila telah dibuat keputusan pada tahun 2016 untuk mengurangkan pengambilan guru ke IPG.
Maka, bekalan guru dikeluarkan oleh IPG pada waktu ini jauh lebih rendah.
Ramai graduan di luar sana tertanya-tanya mengapa mereka tidak diambil sedangkan mereka mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan.
Hal ini demikian kerana ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.
KPM memerlukan sejumlah guru dalam mata pelajaran tertentu, tetapi bekalan yang ada untuk mata pelajaran tersebut adalah amat terhad.
Disebabkan ketidakpadanan ini, agak sukar untuk KPM mengambil guru-guru baharu bagi memenuhi kekosongan yang ada.
Berdasarkan data, negeri dengan jumlah kekosongan guru tertinggi pada tahun 2021 ialah Selangor, Johor, Sabah dan juga Sarawak.
"Kita tak kata negeri lain tidak mempunyai kekurangan guru, namun ini adalah 4 negeri yang kekurangannya lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain," ujar beliau.
Antara mata pelajaran bagi Sekolah Rendah, dengan kekurangan guru yang tinggi adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan juga Teknologi Maklumat & Komunikasi.
Manakala, bagi Sekolah Menengah pula, mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk & Teknologi.
KPM telah mengkaji dengan mendalam berkaitan isu yang telah berlarutan sekian lama dan telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk melihat kekangan yang ada dan pendekatan yang boleh dilaksanakan.
"Alhamdulillah, Pihak JPA telah memberikan kelulusan khas pengisian jawatan untuk guru di KPM, dan kelulusan khas ini juga telah membolehkan kami mendapat persetujuan daripada pihak SPP untuk pihak berkuasa melantik guru baharu," ujar beliau.
Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.
KPM akan mewujudkan Kluster Opsyen Mata Pelajaran, di mana dengan kluster ini KPM akan susun kelayakan dan kelulusan bakal-bakal calon guru berdasarkan kluster-kluster tertentu.
KPM juga akan mengadakan kepelbagaian dalam kaedah pelantikan, di mana pelantikan itu dibuat berdasarkan satu pendekatan yang holistik.
KPM juga akan bekerjasama dengan SPP untuk membuat satu pengambilan khas guru secara one-off, seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41.
"Dengan pengambilan ini, semoga kita dapat mengurangkan bebanan guru-guru dan dapat mengatasi masalah kekurangan guru bagi memastikan proses pengajaran dapat dilakukan dalam waktu sukar ini dan dapat memberi peluang kepada graduan Universiti yang berminat dalam sektor pendidikan," tambah beliau lagi.
--PN Online