top of page
  • newsatmy

KPM hargai inisiatif persatuan, NGO sukan cungkil bakat baharu kalangan murid sekolah


KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa menghargai inisiatif persatuan atau NGO sukan yang berusaha untuk memajukan dan memartabatkan bidang sukan, termasuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam kalangan murid.


Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata inisiatif ini tentunya membuka ruang dan peluang kepada murid daripada 188 sekolah rendah dan 104 sekolah menengah seluruh WP Kuala Lumpur untuk mempamerkan bakat mereka, seterusnya diasuh dan digilap untuk menjadi seorang jaguh sukan badminton.

“Kerjasama sebegini pastinya bukan sahaja akan memastikan lebih ramai bakat baharu dicungkil, malah yang lebih utama inisiatif ini dapat menyuntik semangat serta membina keyakinan diri anak-anak bahawa setiap daripada mereka mempunyai kekuatan dan potensi masing-masing yang boleh dioptimumkan,” katanya.


Terdahulu, Mohd Radzi hadir melancarkan Projek Jejak Juara, iaitu inisiatif untuk mencungkil dan menggilap bakat atlet murid dalam sukan badminton untuk tempoh lima tahun mulai 2022 hingga 2027, pada Isnin.


Projek ini merupakan anjuran Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL).

Hadir sama, Presiden KLBA Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

“Semoga kerjasama antara KLBA dan MSSWPKL mampu memenuhi hasrat kita semua untuk melihat lebih ramai bakat baharu dalam sukan badminton dapat dicungkil dan diketengahkan sebagai jaguh negara pada masa akan datang,” kata Mohd Radzi

bottom of page