top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Krisis politik beri kesan kepada isu pengangguran

16 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Krisis politik negara beri kesan negatif kepada isu rakyat khususnya masalah pengagguran.


Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, krisis itu secara tidak langsung menyebabkan isu rakyat tidak diberi perhatian termasuk masalah pengangguran.


Beliau berkata, MTUC sebagai pusat buruh kebangsaan mewakili pekerja ketika ini amat khuatir dengan tahap pengangguran dan golongan individu hilang pekerjaan akibat COVID-19 yang semakin tinggi.


“Sikap tidak peduli pemimpin politik semakin jelas apabila tiada lagi isu pekerjaan diangkat menjadi agenda utama sejak kerajaan mengalami krisis kepemimpinan negara.


“Keadaan pekerja yang semakin tertekan dengan pemotongan gaji, elaun dan dicutikan tanpa gaji menunjukkan aspek keselamatan pekerjaan di Malaysia semakin tidak terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC kecewa dengan majoriti pemimpin parti politik yang tidak memberi maklum balas terhadap surat dihantar pada 9 Julai lalu, bagi mengadakan perjumpaan dengan MTUC.


Kemelut politik negara perlu diatasi secepat mungkin bagi memulihkan ekonomi dan mengekang penularan wabak COVID-19 secara menyeluruh.


Beliau berkata, pihaknya sehingga kini hanya berjaya berbincang dengan satu parti politik utama bagi menyampaikan harapan pekerja Malaysia berhubung isu semasa.


“MTUC tidak dijemput dalam perbincangan mengenai pembukaan ekonomi dan perancangan terhadap isu pekerjaan.


“Kita bersedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang perlu bersatu dengan pekerja jika berhasrat melihat kejayaan negara tercinta ini.


“MTUC berharap kerajaan mendengar dan melihat keluhan, rintihan serta kepayahan rakyat. Keutamaan kerajaan adalah memberi tindak balas kepada keadaan rakyat yang tiada sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup,” katanya.


Kamarul Baharin berkata, kerajaan perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan aspek kebajikan pekerja sentiasa dipenuhi dan diberi keutamaan.


“Semoga ada sinar di bumi tercinta ini,” katanya.



--PN Online

bottom of page