• newsatmy

Ku Li disahkan positif COVID-19

Iqbal

14 Januari 2021

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li telah disahkan positif Covid-19 dan kini dilaporkan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Menurut sumber, Ku Li berada dalam keadaan sihat dan stabil serta tidak mengalami sebarang komplikasi.


Difahamkan, Tengku Razaleigh merupakan kontak rapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff yang disahkan positif Covid -19 baru-baru ini.


"Tengku Razaleigh menjalani ujian saringan baru-baru ini dan keputusannya disahkan positif. Beliau kini di PPUM dan berada dalam keadaan stabil.


"Beliau merupakan kontak rapat ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff yang telah disahkan positif baru-baru ini," kata sumber tersebut seperti dilaporkan Astro Awani pada Khamis.


Pada 9 Januari lalu, Ab Aziz dan Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani disahkan positif Covid -19.


Sebelum ini, pegawai Tengku Razaleigh, Lokman Abdul Ghani juga disahkan positif Covid -19 dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).