Kuasa media di tangan rakyat
Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan sesuatu yang baik dengan memperkenalkan internet pada lewat 90 an.
Pembinaan Cyberjaya, penubuhan Suruhanjaya Komunikasi serentak dengan kemunculan pelbagai jenama telefon pintar ke pasaran Malaysia.
Memasuki tahun 2000, ledakan teknologi ini mula diadaptasi dan dikuasai oleh anak-anak dan mereka memulai memiliki kuasa penyiaran.
September tahun 2021, Kementerian Komunikasi dan Multimedia merekodkan seramai 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini.
Kemunculan Blog dan Vlog menyaksikan rakyat biasa menjadi jurnalis, mereka menulis apa sahaja di fikiran tanpa “gatekeeper’ seperti media arus perdana.
Pada 2018, menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali memanfaatkan sosial media Youtube dan membuat live sesi ceramah Pilihan Raya Umum ke-14.
Pada dua minggu akhir itu, semua stesen televisyen arus perdana milik kerajaan atau swasta menafikan hak ‘airtime’ pada semua ceramah Mahathir.
Namun, sesi live Youtube Mahathir mencapai ratusan ribu penonton dan pada malam yang sama, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang live di siasaran televisyen perdana.
Mahathir sebaik meletakkan jawatan telah menjadi sasaran serangan oleh netizen-netizen dan cybertrooper, ironiknya menggunakan platform yang suatu ketika dahulu diperkenalkan mantan Perdana Menteri tertua negara ini.
Bukan beliau keseorangan, malah semua pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang menerima serangan sama.
Sama seperti yang berlaku kepada Pakatan Harapan, DAP dan rakan sekutu yang rebah menyembah bumi selepas 22 bulan memerintah hanya kerana serangan bertubi-tubi rakyat.
Antara platform media sosial yang menjadi wadah rakyat bersuara, iaitu Kini rakyat atau dipanggil netizen sudah semakin matang dan mampu mengenali dan membezakan propaganda cybertrooper berbayar.
Fenomena ini telah meletakkan kuasa media pada tangan rakyat. Setiap pemilik telefon pintar kini sebenarnya memegang sebuah stesen televisyen dalam tangannya.
Dengan wujudnya, pelbagai platform seperti instagram, Facebook live, Youtube live dan kini TikTok live, semua topik disiarkan mengikut citarasa rakyat, malah mereka sudah kurang percaya media arus perdana telus melaporkan isu.
Dalam keadaan panik ini, agensi kerajaan berkaitan yang mengambil tindakan menyekat dilihat sebagai musuh dan cuba membantutkan suara rakyat.
Kembali ke situasi sekarang, sejak 2018-2021, Malaysia telah bertukar tiga Perdana Menteri.
Penasihat-penasihat komunikasi yang dilantik gagal merangka strategi mampan menyertai platform-platform ini secara kacamata rakyat.
Portal, akaun Instagram, akaun Facebook ditadbir secara protokol gomen dengan memberikan ayat-ayat ‘klise’ seperti ‘dalam siasatan’, ‘enggan mengulas lanjut’, ‘telah dimajukan ke jabatan berkenaan’ dan pelbagai lagi.
Lebih malang, pegawai-pegawai yang tidak minat disuruh buka akaun TikTok kononnya untuk lebih cakna dan mesra rakyat, malangnya kita melihat perkembangan Cybertrooper menjadi ‘Polis Tiktok’ iaitu membuat posting memperli, melarang, siber buli kepada TikTokers lain.
Contohnya daripada isu pakaian, isu body shaming, isu kalimah Allah di Mesir dan Malaysia, selepas sesuatu posting di muatnaik akan wujud akaun palsu menulis ‘kak taubat la’, ‘Islam ke ni’, ‘kamu ni ahli neraka’, ‘bencana ini kamulah puncanya’ dan pelbagai bahasa kasar, menghina, mencaci.
Tanpa netizen sedar bahawa mereka sebenarnya boleh didakwa di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau boleh dipenjara jika komen berbaur hinaan, cacian, mempersendakan mana-mana pihak. Malah boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari selagi komen itu berada di media sosial.
Semua perkara ini sebenarnya berlaku mengikut kehendak netizen, mereka memimpin perkembangan sesuatu isu untuk menjadi viral dan mendapat perhatian pihak berkuasa.
Contohnya video Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Rina Harun menggunakan water jet mencuci koridor sekolah yang sudah sedia bersih, menerima kutukan berjemaah oleh pengguna TikTok dan media sosial lain sehinggalah segala program beliau diserang dan menerima komen negatif.
Sama juga isu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang sentiasa dikritik rakyat yang menganggap beliau ada agenda yang tidak telus berhubung isu dos penggalak, tambahan pula apabila kerajaan kita membuat sekatan di Facebook berhubung perkataan Vaksin, Covid-19 dan sebagainya.
Sekatan ini sebenarnya menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat, dan kemarahan itu dipalitkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bukan mudah untuk mereka yang pernah jadi sasaran netizen untuk bangkit semula, kekuatan mental dan fizikal amat penting tetapi sama seperti internet jika sebelum ini netizen gunakan sebagai pisau untuk membunuh, maka kali ini manfaatkanlah internet sebagai pisau untuk anda mendapat makanan.
Kesimpulannya, kuasa media ketika ini bukan lagi sama seperti era mesin taip dimana pemimpin boleh beri arahan mengikut selera mereka, kuasa media ketika ini kembali sepenuhnya kepada rakyat, mereka menentukan hala tuju yang mereka mahu menggunakan platform internet.
Media pula tiada pilihan lain, untuk kekal relevan mereka perlu berdiri sama tinggi dengan rakyat, perlu mengetengahkan kehendak rakyat, jika tidak mereka akan menerima nasib sama akhbar berusia 80 tahun iaitu Utusan Melayu terpaksa menutup operasinya pada 2019, menyusuli kejatuhan parti politik yang menjadi tempat ia bergantung sebelum ini.
Iktibar yang boleh diambil oleh mana-mana media, politik sentiasa boleh bertukar ganti tetapi rakyat tetap kekal rakyat.
Comments