top of page
  • admin

Kunci kestabilan ada pada PN


SUDAH genap sebulan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. Secara keseluruhan, berdasarkan pemerhatian saya, Anwar memperolehi tahap pencapaian yang begitu memuaskan, meskipun pada peringkat awal beliau melakukan satu dua kegagalan. Kejayaan Anwar yang terbesar setakat ini ialah mewujudkan kestabilan politik setelah negara berhadapan dengan kemelut politik yang panjang sejak PRU ke-14 tahun 2018.


Saya mengikuti gerak-geri Anwar sepanjang sebulan beliau diamanahkan sebagai Perdana Menteri, terutama ucapan-ucapan yang beliau sampaikan dalam pertemuan-pertemuan yang diaturkan dengan kumpulan-kumpulan sasar. Tidak dapat dinafikan, beliau menzahirkan iltizam untuk melunaskan janji-janji beliau mengenai agenda reformasi yang diuar-uarkan sejak tahun 1998. Iltizam beliau ialah membersihkan tatakelola kerajaan dan memberi keadilan kepada rakyat.


Beliau juga melakukan beberapa tindakan yang boleh ditanggapi bersifat populis, seperti cara berpakaian dan komunikasi pergaulan, sehinggalah memutuskan tidak mengambil gaji Perdana Menteri dan tidak mendiami rumah rasmi di Seri Perdana. Tindakan-tindakan yang diambil, menurut Anwar bukanlah populis seperti yang ditanggapkan tetapi untuk menjadi signal awal iltizam beliau dalam melaksanakan agenda reformasi yang digagaskan.


Anwar juga mengambil langkah-langkah pantas untuk membersihkan imej beliau yang tercalar sejak 1998, iaitu palitan berkaitan kesalahan-kesalahan moral dan kecondongan beliau terhadap gagasan pemikiran pro Barat seperti Liberalisme dan Pluralisme. Beliau telah mengemukakan saman sivil terhadap pihak-pihak yang memalitkan kembali beliau dengan kesalahan-kesalahan moral dan pendirian pro Barat. Pada ketika yang sama beliau mendekati agamawan dan ilmuwan.


Jelas sekali pendekatan awal Anwar setelah mengangkat sumpah adalah meraih sebanyak mungkin sokongan dari kalangan kumpulan-kumpulan sasar dalam negara sebagai ikhtiar untuk mewujudkan kestabilan politik. Beliau telah mendapat sokongan besar dari kaum bukan bumiputera dalam PRU ke-15 baru-baru ini. Demi mendapatkan sokongan kaum bumiputera, Anwar telah mencapainya sebahagian dengan menarik Umno, GPS dan GRS di dalam kerajaan, yang diikat pula dengan MoU politik.


Bagaimanapun, Anwar belum lagi mendapat sokongan padu daripada kaum Melayu, yang bukan sahaja merupakan kelompok bumiputera yang terbesar tetapi juga teras kestabilan kepada politik Malaysia. Sehingga pilihan raya tertunda di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, sokongan kaum Melayu terutama anak-anak muda Melayu masih bersama PN. Dengan pengertian lain, kunci kestabilan politik Malaysia ada pada PN, parti pembangkang.


Diyakini, tanpa kunci kestabilan tersebut iltizam Anwar untuk melaksanakan agenda reformasi sukar untuk dicapai. Agenda untuk memberi keadilan kepada rakyat memerlukan usaha besar-besaran membanteras golongan monopoli, kartel, orang tengah, pemain ekonomi gelap, pemberi rasuah dan lain-lain. Sama ada disedari atau tidak, golongan-golongan inilah yang begitu bimbang PN atau PAS dapat menerajui negara, justeru mereka kuat berpihak kepada lawan PN atau PAS.


Oleh yang demikian, agenda Anwar untuk memberi keadilan kepada rakyat boleh menyebabkan beliau hilang sokongan dari golongan monopoli, kartel, orang tengah, pemain ekonomi gelap, pemberi rasuah dan seumpamanya. Boleh jadi di dalam PRU peringkat negeri yang bakal berlangsung dalam tempoh enam bulan ini, PH akan kehilangan banyak sokongan. Mahu tidak mahu, satu hari nanti Anwar tetap memerlukan sokongan dari pihak yang berupaya membanteras golongan-golongan ini, iaitu PN atau PAS.


Demikian juga, agenda Anwar untuk membersihkan tatakelola kerajaan. Umum menyedari, pihak yang selama ini dituduh oleh PH mencemarkan tatakelola kerajaan sedang berjanji setia dengan Anwar sekarang. Secara peribadi, saya masih menganggap pertuduhan-pertuduhan yang dibuat semasa PH memerintah 22 bulan dahulu adalah pendakwaan terpilih. Bagaimanapun, setelah kes-kes itu dibawa ke mahkamah, eloklah diselesaikan menurut tatacara perundangan.


Persoalan sebenarnya, bolehkah agenda Anwar untuk membersihkan tatakelola kerajaan berjaya, sekiranya golongan yang terpalit mencemarkan tatakelola itu menjadi penentu kestabilan kerajaan yang diterajui oleh Anwar. Golongan ini telah ditolak oleh majoriti kaum Melayu, malah turut ditolak oleh penyokong-penyokong parti yang mereka terajui. Sebenarnya Anwar memerlukan sokongan dari majoriti kaum Melayu untuk melaksanakan agenda reformasi, dan sokongan itu ada pada PN.



DR. MOHD ZUHDI MARSZUKI

bottom of page