top of page
  • newsatmy

KWSP benarkan pengeluaran dari simpanan akaun 1

12 Februari 2021

Mana-mana daripada 14.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur kurang daripada 55 tahun kini dibenarkan membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki sedia ada.


Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu selepas KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambah baik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas masyarakat.


Beliau berkata, langkah itu diharap dapat membantu ahli-ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik Covid-19.


“Bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Tengku Zafrul berkata, KWSP memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan itu berikutan perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem dan proses dalaman i-Sinar Online.


Justeru, jelas beliau, pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat oleh KWSP.


Pada masa sama, Tengku ­Zafrul berkata, jumlah pengeluaran dari Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal.


“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.


“Pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” kata­nya.


Sebelum ini, KWSP menetapkan syarat tertentu bagi penca­rumnya yang ingin mengeluarkan wang mereka menerusi i-Sinar hingga menimbulkan rasa tidak puas hati buat sesetengah ah­linya kerana mendakwa ia sebagai menyusahkan.


Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 masing-masing.


Beliau bagaimanapun berkata, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah seba­nyak RM60,000.


“Pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000,” katanya.


Sementara itu, beliau menasihatkan pencarum agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP melalui saluran-saluran komunikasi rasminya.


“Mereka juga diingatkan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang tidak sahih bertujuan menipu atau mengelirukan ahli,” katanya.

bottom of page