top of page
  • newsatmy

‘Lakonan’ desak PRU 15 menakutkan pelabur akan rugikan negara


ALOR GAJAH, 8 Okt – Spekulasi berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh terdekat hanya merugikan negara apabila pelabur luar juga takut dan menangguhkan pelaburan mereka.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata pelabur yang berhasrat untuk masuk ke negara ini juga terpaksa menangguhkan perancangan mereka kerana mahu melihat keadaan politik selepas PRU15.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah dilaporkan turut mengingatkan kerajaan sekarang tidak bermain wayang dengan mengadakan bajet prihatin dan sebagainya.

“Saya agak kecewa dengan lakonan sebegitu. Kepimpinan perlu ada keberanian untuk membuat keputusan yang menguntungkan rakyat.


“Saya rasa tidak perlu spekulasi dan sampai bila mahu begini? Apabila tiba masanya kita bubarkan. Bajet 2023 juga sudah dibentangkan dan akan dibahaskan untuk kelulusan, jadi biarkan proses itu berjalan hingga selesai dan kemudian bubarlah Parlimen.


“Jadi jangan ‘berlakon’ kerana kita tahu bajet ini adalah untuk pilihan raya. Pada saya Mac tahun depan adalah masa yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti banjir, kemelesetan ekonomi dan proses bajet digazetkan,” katanya menurut Utusan Online.


Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Marrybrown Cawangan Masjid Tanah di Alor Gajah, Melaka, hari ini.


Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan tidak terus bermain tarik tali berhubung status pembubaran Parlimen selepas Bajet 2023 selesai dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.

Redzuan berkata, secara peribadi beliau berpendapat kerajaan wajar membubarkan Parlimen dalam masa terdekat sekiranya benar mahu berbuat demikian.


Katanya ia penting bagi mengelakkan sesi perbahasan dilihat sebagai proses sia-sia kerana perbelanjaan tersebut memerlukan kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum digazetkan.


“Kalau hendak bubar (Parlimen) sekarang, bubarlah. Kita negara demokrasi tetapi kena fikirkan juga kesan pembubaran kepada orang ramai yang hendak mengundi dalam keadaan diramalkan banjir dan ekonomi rakyat yang masih belum pulih,” katanya.

bottom of page