top of page
  • newsatmy

Lama menyepi, Azhar Osman kembali dengan 'Ternyata'

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Bertahun lamanya tidak mendengar berita pelakon dan penyanyi, Azhar Osman, akhirnya dia kembali memeriahkan industri muzik dengan lagu baharunya berjudul 'Ternyata'.


Menurut Azhar, lagu sentuhan Farouk Roman itu kena dengan jiwanya dan dia tidak menyangka menerima tawaran untuk menyanyikan lagu tersebut.


“Apabila suatu hari Farouk menawarkan saya untuk menyanyikan lagu runut bunyi ciptaannya, mulanya saya ingat ia sekadar gurauan. Namun, rupa-rupanya dia memang serius dan saya terus ambil keputusan untuk menerimanya.


"Semestinya, saya berterima kasih dan berbesar hati atas kesudiannya memilih saya untuk menyanyikan karya itu


“Sebaik saya mendengar demo lagu yang diberikan kepada saya itu, ia serta-merta menangkap halwa telinga. Melodinya terus menggambarkan bagaimana perjalanan lagu itu dan saya semestinya sangat teruja mencabar diri bagi melunaskan tugasan lagu itu,” katanya.


Membuat kemunculan kembali pastinya bukan mudah dan Azhar perlu memperkenal semula namanya.


Justeru, Azhar melihat peluang diberikan untuk menyanyi runut bunyi dari sudut optimis dan yakin terhadap aturan rezeki ditetapkan buatnya. Semestinya dia berharap namanya akan naik semula.


“Memandangkan ia lagu runut bunyi, timbul rasa bercampur-baur di mana pertamanya saya sangat berbesar hati. Siapa yang tak mahu lagunya dimainkan dalam drama dan saya pula sudah beberapa tahun tidak menyanyi. Tiba-tiba, saya muncul kembali dan terus buat lagu runut bunyi, saya anggap itu bonus.


“Perasaan yang satu lagi semestinya terasa sedikit tekanan kerana risau sama ada lagu ini akan menjadi, memberi keadilan kepada komposer, dapat sambutan, atau tidak.


"Apapun, saya percaya kepada rezeki, siapa tahu mungkin inilah masa yang tepat untuk saya kembali. Saya tak kisah kalau lagu ini lebih dikenali sekadar runut bunyi,” katanya.


Ternyata merupakan runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan Ungku Ismail Aziz yang dibintangi Riz Amin, Julia Farhana, Norman Hakim, Noorkhiriah dan ramai lagi.


Azhar memulakan karier muzik sekitar 2013 sewaktu menganggotai duo Azhael bersama Hael Husaini yang mendapat naib juara dalam program Akademi Fantasia 10 (AF10).


Selepas dibubar pada 2017, Azhar kemudian membina nama dalam bidang lakonan sebelum menyepi sejak beberapa tahun lalu.


Ternyata boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.


- Astro Awani


bottom of page