• newsatmy

Lambakan platform penstriman, sukarkan pemilikan hasil karya asli - Amir Muhammad

8 Mac 2021

KUALA LUMPUR - Mudahkan akses orang ramai untuk memiliki hasil karya asli.

Itu pandangan pengarah, Amir Muhammad, yang enggan melihat isu cetak rompak sebagai kesalahan di pihak pengguna sahaja.


Sebaliknya, beliau melihat cetak rompak satu isu yang berterusan kerana tiadanya titik pertemuan untuk menyelesaikannya di semua peringkat.


"Saya sendiri pernah jadi pengguna, sebelum bergiat aktif dalam bidang seni. Jadi saya faham situasi orang ramai yang membeli barang cetak rompak.


"Kalau kita tengok sekarang, banyak platform yang menayangkan filem, seperti Astro First, Netflix, Hulu dan sebagainya.


"Kalau seorang peminat nak tengok semua filem yang ada, dia kena langgan semua platform ini. Tetapi berapa ramai yang ada kemampuan untuk buat begitu?


"Mungkin ada yang cakap, kalau tak mampu jangan tengok. Tetapi penyelesaiannya tidak semudah itu," katanya dalam ditemu bual bersama Astro AWANI.


Tambah Amir, isu kualiti bukan perkara besar jika industri diketahui mampu 'membekalkan' servis atau dalam kata lain, akses yang memudahkan dan berkualiti untuk pengguna.


"Saya ambil contoh seorang tukang masak yang popular di laman sosial. Selama ini dia memberikan servis yang baik dan percuma melalui content yang dibuat. Bila dia keluarkan produk sambal sendiri, orang ramai beli sampai sold out.


"Ini salah satu contoh yang saya boleh ambil, tentang bagaimana orang ramai membeli atas dasar ingin memberikan sokongan, kerana tukang masak itu juga selama ini memberikan perkhidmatan yang baik," ujarnya.


Justeru, pengarah bersama filem Susuk ini mahu semua pihak mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan kerana cetak rompak merupakan isu universal yang memerlukan kerjasama secara kolektif.


"Kita ada pembeli yang tidak mampu keluarkan belanja yang banyak, manakala di pihak penerbit pula, mahu memaksimakan keuntungan.


"Jadi pihak pembikin filem perlu bersedia untuk keluarkan hasil karya yang mampu dan mudah dimiliki, kerana saya percaya apabila penonton ada pilihan untuk beli karya asli dengan harga murah, mereka sanggup keluarkan wang dan takkan beli hasil cetak rompak.


"Mungkin ada yang argue tentang kualiti tetapi kualiti tidak semestinya memerlukan kos pembikinan yang tinggi.


"Pembikin filem akan keluarkan kos yang tinggi kalau capaian filem itu luas, contohnya seperti Upin & Ipin. Ia ditonton dan ditayangkan di banyak negara, jadi kos yang dikeluarkan pun perlu tinggi.


"Tetapi untuk filem biasa yang hanya ditonton di Malaysia, kos sepatutnya bukan masalah.


"Mungkin betul kalau kita nak hasilkan blockbuster seperti fiksyen sains dan sebagainya, tetapi di Malaysia, saya belum sampai ke tahap penghasilan filem sedemikian," katanya.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.