top of page
  • admin

Langkah henti pinjaman pelajar perubatan dipersoal – MMA


KUALA LUMPUR 26 Mac:Keputusan mengejut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan penajaan pelajar di universiti tempatan yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan perlu dijelaskan.


Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai menegaskan, langkah menghentikan pinjaman pengajian bukan cara yang tepat bagi kerajaan mengawal bilangan graduan dalam bidang itu.

“Adakah langkah ini akan menjejaskan kepakaran yang diperlukan untuk sektor penjagaan kesihatan awam dalam masa terdekat dan jangka panjang?

“Apakah dasar kerajaan mengenai perancangan sumber manusia untuk sektor penjagaan kesihatan awam?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.


JPA dalam satu kenyataan pada 25 Mac memaklumkan, bidang perubatan, pergigian, farmasi dan pendidikan adalah antara kursus yang tidak lagi ditawarkan tajaan oleh jabatan tersebut pada tahun ini.


Kata kenyataan itu, antara lain yang turut tidak ditaja adalah bidang yang memerlukan pelajar mengambil jenis-jenis lesen seperti lesen penerbangan, lesen menyelam dan sebagainya, program-program berbentuk francais universiti awam atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan sebagainya.


Menurut JPA, tajaan adalah hanya untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam, politeknik premier dan universiti berkaitan kerajaan yang telah dipilih oleh jabatan untuk pinjaman boleh ubah.


Mengulas lanjut Muruga berkata, MMA juga berharap agar JPA dapat berkongsikan unjuran pegawai perubatan, pakar, kakitangan penjagaan kesihatan yang akan diperlukan untuk lima dan 10 tahun akan datang.


Beliau berkata, sehingga kini, negara masih belum mencapai nisbah seorang doktor untuk 400 pesakit yang disyorkan di fasiliti penjagaan kesihatan awam.


Katanya, di sesetengah hospital, nisbah boleh menjadi sehingga satu doktor kepada 1000 pesakit dan masih juga terdapat kekurangan bagi pakar penjagaan kesihatan awam.


“Perlu ada perancangan yang secukupnya untuk penjagaan kesihatan dengan mengambil kira keperluan dan pertumbuhan penduduk. Masa yang mencukupi juga diperlukan untuk melatih pekerja dalam sektor penjagaan kesihatan.


“Kebimbangan kami adalah mungkin tiada pakar yang secukupnya pada masa hadapan kerana permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meningkat dan dijangka terus meningkat berikutan populasi yang semakin tua.


“Malaysia akan mencapai status negara menua pada 2030 di mana 15 peratus daripada penduduknya akan berumur 60 tahun atau lebih. Bagaimana kita bersedia untuk perubahan demografi dalam populasi kita?” soalnya lagi.


Muruga menegaskan, pelajar universiti tempatan yang ingin meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan masih memerlukan sokongan.


“Oleh demikian, semua pihak harus terus menyokong mereka disebabkan tidak semua pelajar berasal dari keluarga yang berada,” katanya.

Comments


bottom of page