• Arissa

Langkah tepat, mampu rancak semula ekonomi rakyat setempat – Razali

9 Ogos 2021

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Senator Datuk Razali Idris menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kelonggaran kemudahan kepada individu yang menerima dua dos vaksinasi lengkap.


Beliau berkata pengumuman tersebut satu langkah tepat dan diharap mampu merancakkan semula sektor ekonomi negara.


Sebagai contoh, Razali berkata kemudahan sosial yang diberikan kepada individu lengkap dua dos vaksin di negeri yang telah memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti aktiviti ‘dine-in’, dan dan pembukaan sektor perlancongan dapat merancakkan ekonomi khususnya untuk rakyat setempat.


“Kita amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang dan ruang serta kelonggaran kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin.


“Kita lihat bermula 10 Ogos ini, individu yang sudah lengkap dua dos boleh makan di kedai, sektor perlancongan juga sudah dibuka walaupun di dalam negeri sahaja dan sebagai permulaan diharapkan langkah itu akan memberikan nafas baharu kepada ekonomi rakyat khususnya,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Mengulas lanjut, Razali memohon supaya Muhyiddin mempertimbangkan negeri-negeri dengan jumlah kes harian bawah daripada 300 kes ditukar kepada fasa tiga.


Menurutnya, negeri-negeri yang mencatatkan kes harian bawah daripada 300 ini perlu ditukar statusnya ke fasa tiga bagi membolehkan sektor-sektor tertentu dibuka secara berperingkat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.


“Sebagai cadangan, sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) contohnya perlu dibuka kerana ianya boleh menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.



--PN Online