top of page
  • newsatmy

Lanjutan pengecualian perbaharui lesen memandu, LKM 1 April hingga 31 Mei

27 Mac 2021 PUTRAJAYA: Pengecualian memperbaharui lesen memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi pemilik kenderaan persendirian dilanjutkan mulai 1 April hingga 31 Mei, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

"Namun para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (ecover note) mereka kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta," katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, Ka Siong berkata, individu yang LM dan LKM mereka sudah tamat tempoh antara 1 Februari hingga 31 Mac 2021 hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April hingga 31 Mei 2021.

"Jika LM atau LKM yang tamat tempoh bagi pengecualian pertama (1 Februari hingga 31 Mac 2021) hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan, iaitu bermula 1 April hingga 31 Mei 2021. "Sekiranya gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan," katanya.

Katanya, individu yang tamat tempoh LM dan LKM antara 1 April hingga 31 Mei 2021 pula hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun hingga 31 Julai 2021. Pengecualian itu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Ka Siong bagaimanapun berkata, pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional iaitu GDL dan PSV kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitan mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu dalam majlis lain hari ini, Ka Siong merasmikan pelancaran Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had RM5 (MyRail5) oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada pelajar sekolah dan orang kurang upaya (OKU) bagi meringankan beban mereka yang menggunakan perkhidmatan kereta api di Semenanjung termasuk di Sabah.

Ka Siong berkata, skim diperkenalkan itu memberi impak yang besar kepada rakyat terutama yang menggunakan perkhidmatan kereta api seperti komuter di utara termasuk Pantai Timur membabitkan Pahang dan Kelantan.

"Kita sudah membuka pendaftaran pada 27 Disember lalu dan akan berkuat kuasa setahun di mana akan dipantau dari segi prestasinya," katanya.

Ka Siong berkata, murid tahun satu hingga tingkatan enam dan OKU digalakkan untuk mendaftar dan menikmati diskaun itu dengan hanya membayar RM5 sebulan.

Setakat ini 240 pengguna sudah berdaftar dan sudah mula menggunakannya bermula 1 Januari lalu namun dianggarkan berlaku peningkatan selepas sekolah dibuka April ini. Myrail5 boleh digunakan mengikut Sektor KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utaara dan tren KTM Intercity Shuttle Timuran antara Kuala Lipis-Tumpat termasuk perkhidmatan tren Sabah. -Astro Awani


bottom of page