• Arissa

Lantik Ahli Dewan Negara Dalam RCI TH

17 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan Ahli Dewan Negara dilantik menyertai keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).


Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris berkata penubuhan RCI itu diharap akan menaikkan semula reputasi syarikat konglomerat kewangan Islam utama di Malaysia dan global.


“Menerusi RCI kelak, TH dijangka memulihkan semula imej dan membina kembali identiti pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dalam kalangan negara Islam.


“Dalam hal ini, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yakin siasatan RCI kelak membolehkan TH yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam deposit, perkhidmatan dan operasi haji serta pelaburan dana akan memberi pulangan kepercayaan yang diyakini kepada lebih 10 juta pendeposit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata pendeposit mempunyai hak mutlak menerusi RCI untuk mendapatkan kebenaran dan maklumat tepat berhubung tadbir urus, integriti dan operasi yang berlaku antara 2014 hingga 2020.


Sebelum ini kerajaan mengumumkan penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH susulan mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai lepas.




--PN Online