top of page
  • newsatmy

Lapan cadangan PPMM tangani impak PKP

12 Mei 2021

PUTRAJAYA: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memperincikan lapan saranan kepada kerajaan dalam menangani impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini di seluruh negara.


Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata kerajaan disarankan menutup sektor yang paling banyak menyumbang kes jangkitan COVID-19 dan melaksana langkah proaktif bagi mengekangnya penularan dalam sektor terbabit.


Beliau berkata, persatuan itu mencadangkan kerajaan menubuhkan pusat kajian dan pembangunan secara khusus dan terfokus kepada penghasilan vaksin tempatan dan pencegahan COVID-19 tidak terhad kepada perubatan moden sahaja tetapi termasuk aspek perubatan tradisional dan komplementari seperti perubatan Melayu/Islam, perubatan Cina, Ayurveda, herba dan perubatan jenis lain.


Katanya, kerajaan juga perlu melaksanakan kembali moratorium secara automatiknya kepada pinjaman atau pembiayaan perumahan dan kenderaan ataupun membeli sebahagian daripada pinjaman atau pembiayaan daripada bank, dengan tujuan meringankan bayaran bulanan peminjam.


Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. - Foto fail NSTP


"Mengecualikan atau mengurangkan cukai pendapatan pada tahun ini manakala agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi menggantung segala tindakan undang-undang terhadap rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini berkaitan dengan apa-apa bayaran yang tertunggak.


"Memberi bantuan kewangan kepada golongan B40 secara berkala dan efektif selain bantuan berkala kepada pengusaha kecil dan sederhana termasuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan Suruhajaya Syarikat Malaysia (SSM) seperti firma guaman, peniaga tepi jalan dan lain-lain.


"Menyediakan lebih banyak pusat perubatan dan kuarantin serta menambahkan petugas barisan hadapan bagi menangani peningkatan kes COVID-19 secara mendadak ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, kerajaan juga dicadangkan menggalakkan syarikat-syarikat besar dan konglomerat melaksanakan lebih banyak tanggunggjawab sosial korporat (CSR) membantu usahawan kecil dan sederhana meneruskan perniagaan mereka.


Zainul Rijal berkata, kerajaan juga perlu melipat ganda elemen spiritual dalam menangani pandemik COVID-19 dengan


memperbanyakkan program kerohanian, mengurangkan maksiat dan hiburan yang melalaikan demi mendapat berkat dari Allah SWT.


Beliau berkata, pihak berkuasa agama juga boleh menimbangkan untuk mengadakan solat Aidilfitri dan solat Jumaat secara bergilir untuk dua atau tiga kali bagi mengelakkan bilangan yang hadir semasa solat berkenaan dalam bilangan ramai pada satu-satu masa.


Katanya, ia bertujuan membolehkan lebih ramai umat Islam dapat melaksanakan solat berkenaan.


Pada masa sama, Zainul Rijal berkata, PPMM menyambut baik pengumuman kerajaan Persekutuan melaksanakan PKP seluruh negara dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.


Beliau berkata, tindakan itu diambil kerajaan dalam usaha melawan penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di dalam negara.


"Walaupun PKP kali ini tidak sebagaimana PKP Mac tahun lalu yang menghentikan operasi ekonomi, namun rakyat secara amnya masih terkesan dengan pandemik ini, masih belum dapat menjalankan kehidupan seharian sebagaimana sebelum pandemik serta

terpaksa menanggung liabiliti keluarga.


"Perlu juga diingatkan SOP yang diwujudkan itu mesti dipatuhi oleh semua orang tanpa mengira pangkat, kedudukan dan bangsa manakala tindakan adil dan setimpal mesti diambil sekiranya terdapat perlanggaran mana-mana SOP yang diwujudkan, tanpa pengecualian," katanya.


Selain itu, beliau berkata, PPMM mendapat banyak aduan dan laporan daripada ahli dan bukan ahli mengenai kesan PKP ditanggung oleh mereka yang rata-ratanya mengurangkan keberdayaan mereka untuk menjalankan kehidupan mereka.


Katanya, ia dapat dilihat daripada peningkatan jumlah penceraian, jenayah dan statistik masalah mental yang dihadapi oleh rakyat.


-Berita Harian

bottom of page