top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Lawatan tiga hari PM ke Indonesia bermula hari ini

9 NOVEMBER 2021

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke Indonesia selama tiga hari bermula Selasa.


Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.


Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) dilapor Bernama hari ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo.


Lawatan rasmi itu bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang pelbagai dan sedia kukuh antara Malaysia dengan Indonesia. Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.


Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan perkembangan penting di rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran serantau.


Sempena lawatan itu juga, Ismail Sabri dijadual mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara.


Beliau juga akan melawat kemudahan industri pertahanan di wilayah Bandung.


Lawatan rasmi itu dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

bottom of page