top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Lebih daripada separuh peruntukan bagi RMK12 disalurkan kepada pembangunan asas

5 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Lebih separuh daripada peruntukan sebanyak RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan disalurkan untuk perbelanjaan pembangunan asas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perbelanjaan pembangunan asas itu merangkumi infrastruktur konvensional, sosial, dan ekonomi. “Ada juga bahagian untuk pemulihan agensi kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta projek inisiatif pembiayaan awam-swasta,” katanya dalam program BFM Radio, Breakfast Grille, hari ini .

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas membentangkan RMK12 dengan peruntukan RM400 bilion untuk projek baharu dan sedia ada, ia adalah rangka hala tuju lima tahun terbesar Malaysia, 54 peratus lebih besar daripada RMK11 dibentangkan pada 2016 berjumlah RM250 bilion.

Pelan baharu itu yang ditangguhkan lebih daripada setahun akibat pandemik COVID-19, disasarkan untuk mengubah Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada tahun 2025, membasmi kemiskinan dan meningkatkan sumbangan perniagaan kecil terhadap keseluruhan output ekonomi.

Mengenai masalah yang dihadapi Lembaga Tabung Haji (LTH) dan FELDA, Mustapa berkata masalah yang berkaitan dengannya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh satu tahun. Kerajaan memberi jaminan kepada Felda untuk menerbitkan sukuk sebanyak RM9.9 bilion pada tahun lalu dan daripada jumlah itu sebanyak kira-kira RM2 bilion telah diterbitkan, katanya.

Di bawah rancangan pemulihan itu, hibah pada sukuk berkenaan akan dibayar oleh FELDA, manakala jumlah prinsipal akan ditanggung oleh kerajaan.

“Ada jalan penyelesaian, mengenai kes LTH dan FELDA, ia akan mengambil masa selama 10 tahun kerana ia melibatkan jumlah besar,” katanya.


bottom of page