• Arissa Azman

Lebih kemudahan bagi individu lengkap Vaksinasi termasuk ‘dine-in’ – Muhyiddin

20 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa melebihi 50 peratus di seluruh negara, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, termasuk aktiviti ‘dine-in’ bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap mulai esok.


Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya hari ini bagi membincang dan mempertimbangkan cadangan Jawatankuasa Khas Teknikal MKN untuk memperluaskan kemudahan sektor berkenaan terutamanya bagi Fasa Satu PPN.


Selain itu, beliau berkata aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa Satu dan seterusnya mulai esok serta terpakai dalam daerah yang sama sahaja.


“Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria berikut iaitu bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (contohnya Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.


“Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (contohnya Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya, hari ini.


Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata bagi aktiviti ‘dine-in’, beliau menyarankan pengusaha premis makanan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik memandangkan risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis.


Selain itu, pemilik kedai makan perlu memastikan individu yang memasuki premis untuk ‘dine-in’ menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bahawa mereka telah menerima vaksinasi lengkap.


Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk ‘dine-in’, Muhyiddin menyeru supaya memastikan anak-anak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.


Mengenai aktiviti sukan dan rekreasi pula, Muhyiddin berkata ia dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor), termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam melibatkan aktiviti seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, papan luncur, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (perseorangan), badminton (perseorangan), golf, permotoran dan seumpamanya.


“Aktiviti yang dibenarkan juga termasuklah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat,” katanya.


Beliau berkata aktiviti ‘dine-in’ di restoran atau kafe di premis ‘club house’ dibenarkan manakala operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis ‘club house’ adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.


Muhyiddin memaklumkan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran iaitu melibatkan operasi pasar malam dan pasar minggu turut diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi di negeri Fasa Satu PPN dan seterusnya, dengan syarat mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.


Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan yang diberikan bagi memastikan ia mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.


“Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan ini, KKM (Kementerian Kesihatan) terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.


“Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik COVID-19 ini. Sememangnya, kemudahan ini juga meletakkan tanggungjawab ke atas rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus COVID-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita. Insya-Allah Kita Menang Bersama,” katanya.


Sidang Khas MKN hari ini turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, ketua-ketua setiausaha serta pegawai kanan kerajaan yang berkenaan.


Muhyiddin berkata pertimbangan yang dibuat hari ini setelah mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang melebihi 50 peratus dan pencapaian tersebut adalah lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini iaitu pada 31 Ogos.


“Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa negeri iaitu di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).


“Data yang dikumpul oleh KKM menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori tiga hingga lima apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus,” katanya.


Pada masa sama, Muhyiddin berkata data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan Hospital di Lembah Klang juga bertambah baik, antaranya purata pesakit yang menunggu untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri Lembah Klang telah menurun.


Katanya, situasi itu dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus.



--PN Online