top of page
  • admin

Lebih RM1.53b bantu pesawah seluruh negara


KUALA LUMPUR, 4 Okt – Kerajaan membelanjakan lebih RM1.53 bilion untuk membantu pesawah di seluruh negara, termasuk bantuan subsidi input dan output.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata subsidi input pertanian meliputi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan; Skim Insentif Pengeluaran Padi; Skim Baja dan Racun Padi Bukit dan Huma; serta Skim Insentif Benih Padi Sah, manakala subsidi output pula diberikan melalui Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).


Beliau berkata, kerajaan juga menaikkan kadar bersubsidi racun makhluk perosak di bawah program Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) daripada RM200 per hektar semusim kepada RM300 per hektar semusim untuk 2022, membabitkan perbelanjaan kira-kira RM62 juta.


“Selain itu, bantuan khas pesawah sementara menunggu hasil padi juga akan diberikan pada 2023 dengan kadar bantuan sebanyak RM200 setiap bulan untuk tempoh tiga bulan dengan jumlah peruntukan hampir RM230 juta.


“Jadi, harga padi adalah mengikut pemutuan (kualiti) yang ditetapkan oleh IPB (Bahagian Pembangunan Industri Padi) dan kerajaan kerana pemutuan diselaraskan dengan subsidi output,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Ronald berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), yang mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula harga minimum terjamin padi (GMP) pada kadar RM1.30 sekilogram.


Justeru, Ronald berkata, andaian bahawa kerajaan mengabaikan pesawah adalah tidak benar kerana kerajaan mengadakan pelbagai program dan subsidi bagi membantu golongan itu di seluruh negara.


Terdahulu, beliau berkata, ketika ini, pesawah menikmati penyeragaman harga padi atau GMP di Semenanjung pada kadar RM1,200 per tan metrik atau RM1.20 sekilogram.


“Tarikh akhir semakan GMP adalah pada 21 Februari 2014 dan pelaksanaan GMP ini dibuat melalui Perintah Tetap oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, yang berkuat kuasa sehingga hari ini.


“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, buat masa ini kerajaan belum berhasrat untuk mengkaji semula harga minimum terjamin padi yang ditetapkan,” katanya.

bottom of page