top of page
  • newsatmy

Lelaki hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar ditemukan lemas

25 Mac 2021

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi, semalam, ditemukan lemas, Rabu petang.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata mayat Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, ditemukan kira-kira 200 meter dari kawasan pantai pada pukul 3.27 petang.


"Pasukan mencari dan menyelamat berusaha untuk mendekati mayat itu dengan menggunakan 'personal floatation device' dan tali, tetapi tidak berjaya kerana ombak besar.


"Mayat kemudiannya diambil oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Sungai Musuh, Pengerang pada pukul 5.00 petang," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.


Beliau berkata mayat Muhammad Hibatullah kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora ketika dihubungi berkata ahli keluarga arwah telah membuat pengecaman mayat.


Semalam, Muhammad Hibatullah bersama rakannya Muhamad Hariz Farhat Omar, 23, dikatakan sedang mandi di pantai berkenaan apabila kedua-dua mereka tiba-tiba dibawa arus kuat.


Mayat Muhamad Hariz Farhat yang tersangkut di celahan batu iaitu 30 meter dari kawasan pantai, ditemui orang awam pada pukul 11.16 pagi hari yang sama, dan dibawa ke darat.


Seramai 19 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.59 pagi, dan operasi mencari turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin dan Maritim.


-- BERNAMA


bottom of page