• newsatmy

Lelaki OKU membuka kedai gunting rambut berbekalkan ilmu YouTube.

9 mac 2021

PARIT: Hanya mempelajari teknik menggunting rambut melalui media sosial YouTube, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran dan bisu tidak pernah berputus asa mencari rezeki sebagai tukang gunting rambut di rumahnya di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, di sini.


Malah, perniagaan Farid Aidil Mat Din, 28, yang dijalankan sejak empat tahun lalu itu, hanya mengenakan kadar bayaran serendah RM7 hingga mendapatkan enam pelanggan sehari yang terdiri daripada penduduk kampung dan juga anggota polis balai berhampiran.


Tidak pernah menganggap kekurangannya sebagai penghalang untuk meraih pendapatan sendiri, Farid Aidil sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga serta rakannya untuk berjaya dalam perniagaannya itu.


Kesemua teknik menggunting termasuk merapi dan memotong rambut itu dipelajarinya melalui YouTube dan mempraktikkannya sehingga dapat memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih kemas.


"Saya memang tidak pernah menghadiri apa-apa kursus menggunting rambut. Jadi saya cuba menggunakan YouTube sebagai rujukan dan Alhamdulillah, banyak pelanggan saya memberi respons positif.


"Pada mulanya, saya hanya cuba menggunting rambut kawan-kawan saya sehinggalah ke hari ini dan saya juga ada pelanggan tetap," katanya ketika ditemui pada lawatan Persatuan Sahabat OKU Negeri Perak, di rumahnya, baru-baru ini.


Sesi temu bual itu dibantu kakak, Noor Fashikin, 32, dan ibu bapanya, Mat Din Mat Piah, 68, dan Maimon Mohd Drus, 47.


Farid Aidil yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata beliau sangat meminati bidang berkenaan dan berharap dapat memiliki peralatan dan perkakas yang lebih bagus bagi memberi keselesaan kepada pelanggannya.


"Kalau diikutkan, saya hanya pinjam peralatan daripada kawan dan ada juga yang saya beli sendiri tetapi cepat rosak, malah ada pelanggan merungut mesin yang saya guna bunyi kuat sangat dan panas.


"Setakat ini saya memang sedang mengumpulkan duit untuk menggantikan semua peralatan yang semakin uzur lebih-lebih lagi mesin penggunting yang sangat penting," tambahnya yang berharap dapat diberi peluang untuk mengembangkan perniagaannya itu suatu hari nanti.


Sementara itu, setiausaha persatuan berkenaan, Mahzan Mohsin berkata, pihaknya akan membantu mendaftarkan Farid Aidil untuk mengikuti kursus Pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) bagi meningkatkan kemahirannya.


"Beliau adalah salah seorang OKU yang memang menjadi contoh dan motivasi kepada OKU lain dengan usaha dan semangat yang dia tunjukkan," tambahnya.


- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.