top of page
  • Farah

Liga Super: Menang lawan Kedah bukan mudah- Azzmi


ALOR SETAR 3 Mac: Ketua jurulatih PDRM FC Azzmi Aziz tidak menganggap kemenangan mengejut pasukannya ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi sebagai misi yang mustahil untuk dilakukan.

Sebaliknya pengendali berusia 47 tahun itu berkata pasukannya hadir ke Alor Setar dengan persiapan rapi, termasuk membuat perancangan teliti selepas menganalisa corak permainan KDA FC bagi memburu mata.

"Kita akuilah bukan mudah nak menang di Alor Setar melawan pasukan yang sangat baik, tapi kita berazam untuk mendapatkan mata di sini, sebab kita percaya dalam bola sepak tiada yang mustahil. "Kita analisa dan tengok perlawanan Kedah dengan Terengganu sebelum ini, kita cuba kawal dia punya serangan dan Alhamdulillah dapat gol dan tiga mata," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan 'The Cops' menewaskan 'Sang Kenari' dengan keputusan 1-0, menerusi jaringan Bruno Suzuki pada minit ke-74.


Pada perlawanan itu, Kedah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas kapten pasukan Manuel Ott dilayangkan kad merah dan kemudian Ketua Jurulatihnya Mohd Nafuzi Mohd Zain yang turut menerima nasib sama pada babak kedua perlawanan.



Mengulas mengenai insiden itu, Azzmi yang memuji persembahan keseluruhan anak buahnya yang bermain dengan baik, mengakui kelebihan bermain dengan 11 pemain sedikit sebanyak membantu pasukannya untuk mengatasi Kedah.


Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih KDA FC Victor Andrag berkata tindakan anak buahnya yang terlalu bersemangat mencari gol, menyebabkan persembahan mereka menjadi tidak teratur.


Beliau turut mengakui insiden dua kad merah yang dilayang kepada pemain dan ketua jurulatih KDA FC memberi impak kepada pasukan dan berharap ia menjadi pengajaran untuk pasukan menghadapi saingan seterusnya.

"Memang kita kalah kali ini tapi saya harap kita tidak putus asa sebab perjalanan masih jauh...jadi kita perlu lakukan yang lebih baik untuk perlawanan seterusnya," katanya yang turut memuji persembahan yang ditunjukkan keseluruhan pasukannya pada perlawanan itu.

-- BERNAMA


留言


bottom of page