top of page
Farah

Liga Super :Perak bakal menjadi ‘lauk’ JDT

4 April

Saingan Liga Super 2023 akan terus bersambung pada malam ini dengan membabitkan beberapa perlawanan yang bakal berlangsung di lokasi berbeza dalam misi setiap pasukan untuk menggapai tiga mata penting.


Perak ketika ini dilihat bakal berhadapan tugas getir, selepas masih segar dengan kekalahan terbaharu di tangan Penang beberapa hari lalu untuk menentang JDT di laman sendiri.


Musim ini boleh dikatakan segalanya serba baharu buat pasukan tersebut, dengan rata-ratanya dibarisi oleh pemain muda serta bintang import baharu menyertai Liga Super 2023.


Menerusi pengendali mereka iaitu Datuk Lim Teong Kim, kedudukan semasa Perak kini berada di tangga sembilan Liga Super menerusi satu sahaja kemenangan dilakar daripada enam perlawanan.


Bertemu JDT yang kini masih lagi cemerlang mencatat kemenangan dalam aksi liga, pastinya ramai beranggapan Perak bakal menjadi ‘lauk’ seterusnya buat pasukan tersebut musim ini.


Untuk rekod, JDT telah pun mencatat kemenangan besar 7-0 musim ini, selepas kecemerlangan mereka menewaskan Negeri Sembilan di Paroi, serta meneruskan konsistensi tersebut sewaktu mengaibkan Sabah di laman sendiri.


Pastinya ia menjadi suatu igauan ngeri buat Perak yang akan berhadapan JDT buat julung kalinya musim ini di hadapan ribuan penyokong sendiri untuk mengelak daripada turut menjadi mangsa kerakusan Harimau Selatan.


Walaupun belum bertemu JDT, pasukan ini sudah pun dibolosi 10 gol daripada enam perlawanan dihadapi mereka, dan sesuatu pastinya sudah direncana pengendali kelab tersebut untuk menyekat kemaraan pelawat.


Apapun, pertahanan Perak tidak boleh leka walau sedikit untuk mengelakkan diri mereka menjadi mangsa seperti Negeri Sembilan atau Sabah musim ini.


Menyedari hakikat skuad tersebut dibarisi pemain kurang berpengalaman, pastinya Lim mempunyai rencana tersendiri untuk cuba menyekat kemaraan pasukan pelawat.

Comments


bottom of page