top of page
  • newsatmy

Lihat isu Loh sebagai isu kekeluargaan bukan isu pertembungan agama, kaum


KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Semua pihak digesa melihat isu ibu tunggal Loh Siew Hong untuk meneruskan permohonannya mengetepikan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam sebagai isu kekeluargaan, dan bukan sebagai isu pertembungan agama atau kaum.


Penolong Setiausaha Biro Penerangan Nasional Bersekutu BERSATU, Foong Phui Si berkata beliau bersimpati terhadap Loh kerana sebagai seorang ibu beliau telah dinafikan haknya sebelum ini oleh suami beliau.

“Saya juga menyeru semua pihak supaya melihat isu ini hanya sebagai isu kekeluargaan, dan bukan sebagai isu pertembungan agama atau kaum.

“Ini kerana dalam isu ini yang terlibat adalah dua orang India beragama Hindu iaitu suami Loh dan Loh sendiri. Tidak ada penglibatan mana-mana orang kaum Melayu dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan pada isnin.


Dalam pada itu, Foong berkata diharap tidak ada mana-mana pihak yang mempolitikkan isu ini demi meraih ‘political mileage’.


Pada masa sama, beliau juga terharu kerana ramai rakan-rakan dari semua kaum dan agama termasuk dari kaum Melayu Islam yang menyokong ibu ini dalam menghadapi kemelut ini.

“Akhir kata, saya memohon semua pihak supaya lebih menumpukan kepada sifat-sifat kemanusiaan melebihi segalanya.

“Semoga isu ini selesai dengan baik dan kami berharap keluarga ini akan dapat mengenepikan apajua perbezaan di antara mereka demi masa depan anak-anak,” katanya.


Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan ibu tunggal Loh Siew Hong untuk meneruskan permohonannya mengetepikan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.


Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Loh berhubung penukaran agama yang dibuat bekas suaminya yang juga seorang mualaf, Muhammad Nagahswaran Muniandy.


Nagahswaran didakwa melarikan tiga anaknya dan menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh, dua tahun lalu.

Dengan keputusan ini, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi mendengar merit semakan kehakiman tersebut.

bottom of page