• newsatmy

Lihat MN dalam kerangka semasa, bukan sebelum kerajaan PN terbentuk - Tuan Ibrahim

2 April 2021

KUALA LUMPUR: Asas pembentukan Muafakat Nasional (MN) harus dilihat dalam kerangka semasa dan bukan sebelum pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata MN diasaskan ketika PAS dan UMNO menjadi pembangkang semasa pelbagai isu melanda melibatkan kepentingan umat Islam dan Melayu.


"Ini telah melahirkan kerjasama erat dengan persefahaman politik dalam 10 Pilihan Raya Kecil (PRK) bertujuan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru mengakibatkan PAS atau UMNO kerugian.


"Dalam pembentukan MN, jelas bahawa PAS dan UMNO adalah teras, namun sedia menerima mana-mana parti politik atau NGO yang ingin bersama dalam usaha memperkukuhkan penyatuan ummah ini.


"Semuanya terjadi sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).


"Namun atas usaha semua pihak dan kesepakatan PAS, UMNO, PBBM dan sebahagian PKR, maka terbentuklah kerajaan PN," katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook, pada Jumaat.


Beliau berkata demikian ketika ramai pihak menggesa agar MN diperkukuhkan di antara dua parti selepas UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Mengulas lanjut, Menteri Alam Sekitar dan Air itu juga berkata, dalam beberapa siri mesyuarat, MN sedia menerima Bersatu menjadi rakan dalam gabungan itu.


"Kedua-dua Presiden telah mengutus surat menjemput Bersatu menyertai gabungan dan Bersatu telah menyatakan persetujuan ke arah itu, sayangnya surat persetujuan itu tidak disambut sehingga kini.


"Ini terjadi kerana UMNO kecewa apabila PN didaftarkan sebagai gabungan parti dan ia dilihat penting bagi kerajaan PN kerana ada parti yang mendokong kerajaan.


"UMNO membuat keputusan kekal dalam gabungan Barisan Nasional (BN) malah usaha untuk mendaftarkan MN gagal kerana namanya telah ada pihak daftarkan," jelasnya.


Tambah Tuan Ibrahim, UMNO telah lebih awal membuat keputusan untuk menggunakan lambang BN dalam PRU akan datang, manakala PAS masih mengkaji kesesuaian logo dan akan membuat keputusan setelah mendapat panduan Majlis Syura nanti.


"Kalau semua kita sepakat membentuk Kerajaan PN dan kita berjaya menumbangkan PH serta kita tidak kisahpun soal kerusi yang lompat pada masa itu, kita gembira atas muafakat ini dan rakyat juga gembira atas apa yang telah kita lakukan.


"Kenapa kerjasama ini perlu dipisahkan? Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan MN waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama," soal beliau.


Terdahulu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan hingga pembubaran Parlimen.


- Astro Awani