top of page
  • newsatmy

Lille dominasi Ligue 1 dan PSG ikuti rapat.

4 Mac 2021

PARIS: Dua gol lewat permainan menerusi penyerang Kanada, Jonathan David membantu Lille menewaskan Marseille 2-0 untuk sekali gus mendahului Paris Saint-Germain (PSG) dengan kelebihan dua mata di puncak Ligue 1.


Skuad juara bertahan kendalian Mauricio Pochettino kekal di tangga kedua selepas menewaskan Bordeaux 1-0, manakala Lyon satu mata di belakang PSG selepas menundukkan Rennes dengan keputusan sama.


Monaco yang menghuni tangga keempat gagal mengikut rentak apabila tewas 1-0 di Strasbourg.


Lille kendalian Christophe Galtier melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan tetapi gagal menembusi benteng Marseille hampir 90 minit permainan di Stade Pierre-Mauroy.


David dan Timothy Weah berpeluang memecah kebuntuan di babak kedua tetapi percubaan mereka dinafikan Steve Mandanda.


Namun ketika penjaga gol Marseille itu menepis percubaan Jonathan Ikone pada minit ke-90, David menolak masuk untuk gol pertama dan memastikan kemenangan dengan menanduk hantaran Ikone tiga minit kemudian.


PSG yang turun tanpa kelibat Neymar, Kylian Mbappe dan Angel di Maria terus memberikan tekanan ke atas Lille di puncak liga.


Dengan penyerang, Moise Kean turut direhatkan selepas positif COVID-19, Pablo Sarabia tampil meledak gol kemenangan.


"Kami mempunyai skuad 25, 30 pemain. Kami tahu jika kami menang semua perlawanan berbaki, kami akan muncul juara.


"Dalam bola sepak, anda perlu menghadapi satu demi satu perlawanan dan perlu bersabar untuk memenangi gelaran," kata Pochettino.


-Berita Harian

bottom of page