top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Lima remaja lelaki ditahan buli rakan sekolah

16 Disember 2021

JOHOR BARU: Lima remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Baru kerana disyaki terbabit dalam buli seorang pelajar sekolah menengah di daerah Muar, pada 9 Dis.


Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata kelima-lima mereka ditahan semalam di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka, Kajang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Baru.


Beliau berkata laporan polis telah dibuat pada Isnin berhubung dakwaan membuli seorang pelajar sekolah menengah lelaki berusia 14 tahun oleh pelajar senior di sekolahnya di daerah Muar.


“Susulan kejadian itu, mangsa mengalami bengkak di sekitar tulang rusuk kirinya dan telah menerima rawatan di hospital.


“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada segelintir pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakannya menyebabkan mereka dibuli,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.


Kesemua remaja terbabit akan direman hari ini di Mahkamah Muar.


Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya.


“Polis memandang serius kes jenayah melibatkan pelajar terutama buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit,” kata Zaharudin.

Comments


bottom of page