- Farah
Lokar di 626 sekolah atasi beg berat sedia akhir bulan ini

GOMBAK, 6 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan lokar kepada 626 sekolah dua sesi bagi fasa pertama dengan kerja pemasangan dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.
Kemudahan itu bakal memanfaatkan 249,646 murid sekolah rendah sebagai antara tujuh inisiatif KPM bagi menangani isu beg berat.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata bagi fasa pertama, lokar berkenaan akan dibekalkan kepada murid tahap satu iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua dijadualkan tahun depan.
“Inisiatif untuk kurangkan masalah beg berat (dalam kalangan murid) sudah diumumkan pada 6 Mac 2022 dan Alhamdulillah hari ini, ia berjaya dilancarkan. Ia antara inisiatif paling besar dan tak pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Program ini membabitkan kos RM37.3 juta untuk fasa pertama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua akan diteruskan pada 2023 membabitkan murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, di sini,Rabu.
Yang turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Mengulas lanjut mengenai kerja pemasangan yang sedang giat dijalankan, Radzi berkata, bagi sekolah di daerah Gombak, misalnya, 38 sekolah telah menerima lokar berkenaan.
Diminta mengulas mengenai pemantauan dijalankan KPM bagi memastikan kemudahan lokar berkenaan bakal dimanfaatkan sebaiknya, Radzi berkata, Jemaah Nazir akan sentiasa turun padang bagi tujuan melihat sendiri pematuhan di semua sekolah terbabit.
“Kita minta Jemaah Nazir turun ke bawah bagi memantau bagi aspek pematuhan kepada tujuan inisiatif ini.
“Selain pemantauan, kita juga perlukan kerjasama baik (dari semua pihak) termasuk murid, ibu bapa dan guru supaya budaya ini dapat dibina dan masing-masing memahaminya sekali gus beg dibawa murid tidak seberat seperti sebelumnya,” katanya.
Pada masa sama, Radzi berkata, kemudahan lokar berkenaan diharap dapat disambut antaranya melalui penerapan pengajaran dan pembelajaran yang sedikit berbeza.
Jelasnya, sebagai contoh, sekiranya proses pengajaran berasaskan tema diaplikasikan, ini sedikit sebanyak mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan buku teks.
“Buku teks boleh diletakkan di lokar dan digunakan pada bila-bila masa (diperlukan).
“Apa yang penting dan perlu ditekankan, jangan bawa balik sama seperti sebelum ini, kerana kemudahan sudah ada,” katanya.