top of page
  • newsatmy

LPT1 dinaiki air, laluan Kuantan-Kuala Lumpur ditutup

Fauzi Suhaimi, Aira Abdul

Januari 3, 2021 11:00 MYT

Astro Awani



Air Sungai Lepar melimpah dari arah Timur, sehingga menjejaskan kedua-dua arah LPT1. - Foto Anih Berhad


MARAN: Laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dari Kuantan ke Kuala Lumpur ditutup selepas dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.


Menurut kenyataan Anih Berhad, laluan sepanjang 1 kilometer (km) di Km 198 LPT1, antara persimpangan bertingkat Sri Jaya dan Persimpangan Bertingkat Gambang, dinaiki air sedalam 0.6 meter.


"Sehubungan itu, pengguna yang ingin ke Kuantan dan Kuala Lumpur dimohon menangguhkan dahulu perjalanan anda buat sementara waktu.


"Syarikat turut ingin menasihatkan orang ramai agar mengikuti status dan perkembangan menerusi saluran rasmi Anih melalui Twitter @LPTTrafik dan Facebook @Lebuhraya Pantai Timur untuk status terkini keadaan trafik dan lebuh raya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Menurutnya, Anih melakukan pemantauan berterusan di sepanjang LPT1 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.


Sementara itu, Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat Anih, Fazlyaton Hussein ketika dihubungi berkata, kejadian berpunca daripada air Sungai Lepar yang melimpah dari arah Timur, sehingga menjejaskan kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.

bottom of page