top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

LTSAAS: Syed Saddiq dituntut mohon maaf kepada Muhyiddin

27 Jun 2021

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dituntut memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tuduhannya mengenai kerajaan mahu menjual Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.


Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tuduhan Syed Saddiq menerusi sebuah video mencemar nama baik Muhyiddin dan semua pembuat keputusan dalam hal berkenaan.


“Lapangan Terbang Subang dimiliki oleh kerajaan Malaysia seperti banyak lapangan terbang lain dalam negara.


“Tidak pernah ada satu pengumuman pun dibuat yang memaklumkan kerajaan ‘nak jual Lapangan Terbang Subang sampai tahun 2092’ seperti yang dituduh oleh Syed Saddiq.


“Hari ini kerajaan telah umumkan dengan jelas bahawa kerajaan tiada rancangan untuk menjual hartanah Lapangan Terbang Subang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.


Syed Saddiq sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan projek pengambilalihan LTSAAS Subang oleh sebuah syarikat wajar ditolak kerana didakwa tidak melalui proses yang telus berkaitan aset negara.


Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak meneliti 'LTSAAS Subang Regeneration Plan’ sebaliknya bertegas dengan projek pengambilalihan tersebut.


Mengulas lanjut, Wan Saiful menempelak Syed Saddiq sambil menyatakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu telah belajar untuk memfitnah dan berbohong dengan menuduh kerajaan mahu menjual Lapangan Terbang Subang kepada ‘tauke’ WCT Holdings Bhd.


“Kalau tidak ada bukti, minta maaf dan jangan ulangi fitnah ini. Syed Saddiq, nak mencari populariti boleh.


“Saya tahu YB Syed Saddiq memang pandai dalam teknik populis. Tapi janganlah membawa fitnah. Politik baru mesti bebas fitnah,” katanya.



--Awani

bottom of page