Luqman risau diri tak relevan lagi
29 Mac 2021
KUALA LUMPUR: Selepas tertangguh setahun, akhirnya, Luqman Faiz lega single ketiga berjudul Boneka Cinta, dilancarkan, minggu lalu.
Teruja lagu baharu dilancarkan pada bulan kelahiran, Luqman yang menyambut hari jadi ke-21 pada 3 Mac lalu, berdebar menanti reaksi peminat.
"Iyalah, sudah lama tidak lancarkan single. Rasa gementar dan takut pasti ada. Saya tidak tahu apakah diri ini masih relevan dan diterima lagi.
Sudah lama tidak muncul dengan produk baharu, Luqman mengaku gementar berdepan reaksi peminat. Foto Ihsan Luqman Faiz
"Semuanya masih samar-samar. Namun, saya harap lagu baharu ini akan memikat hati peminat dan menaikkan semula nama," katanya kepada BH Online.
Luqman pada mulanya merancang melancarkan Boneka Cinta ciptaannya bersama Ibnu Rinkarnae, tahun lalu, sempena ulang tahun kelahiran ke-20.
Bagaimanapun, penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama menyebabkan projek itu ditangguhkan.
Luqman berkata, biar apa pun reaksi peminat terhadap dendangan baharunya itu, dia enggan putus semangat.
"Saya sedar soal cita rasa dan pendapat itu subjektif. Jika ada rezeki, saya harap lagu ini boleh pergi jauh.
"Jika sebaliknya, saya tawakal. Saya tidak akan putus semangat dan ini bukan lagi terakhir saya," katanya yang menghasilkan lirik Boneka Cinta bersama Zack Merican.
Luqman yang melonjak menerusi single sulung berentak balada berjudul Kepuraanmu, memilih genre sama untuk dendangan baharu itu.
"Sebelum ini, saya merancang melancarkan lagu Loco Loco berkonsepkan reggaeton.
"Namun, saya tidak jadi melakukannya. Jiwa ini lebih sebati dan sesuai dengan irama balada, jadi biarlah saya kukuhkan nama dalam irama ini," katanya.
Sementara itu, Luqman yang turut popular dengan lagu Takhta Cinta tidak menyesal menumpukan perhatian dalam pengajian diploma muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Dalam hidup ini, kita ada pilihan. Saya kena utamakan pelajaran. Saya menurut cakap emak yang mahu saya tamatkan pengajian.
"Jadi, saya ketepikan seketika dunia muzik," katanya yang berbaki satu semester lagi untuk menamatkan pengajian.
- Berita Harian
Comments