• newsatmy

M40, T20 layak terima bantuan moratorium

4 Jun 2021

PUTRAJAYA: Individu yang mengalami pengurangan pendapatan dan hilang punca pendapatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) layak menerima bantuan moratorium.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kelayakan itu termasuklah golongan M40, T20, perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


"Golongan peminjam seperti individu yang kehilangan pekerjaan B40, M40 dan T20, penerima BSH atau BPR, perniagaan mikro dan PKS dalam sektor yang tidak dibenarkan untuk beroperasi akibat PKP juga boleh memilih untuk mendapat moratorium automatik selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.


Menurutnya, pendekatan itu membolehkan peminjam membuat pilihan berdasarkan keadaan dan keperluan kewangan masing-masing. ⠀


"Peminjam hanya perlu pilih dan dapat bantuan bayaran balik pinjaman yang bersesuaian daripada pihak bank. Kelulusan adalah secara automatik," katanya.


Beliau berkata, bantuan bank adalah dijamin bagi peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan akibat pandemik Covid-19.


"Saya melihat banyak pertanyaan sama ada golongan M40 juga layak menerima bantuan moratorium. Ya. Jika anda kehilangan pekerjaan, tidak kira M40 atau T20, anda layak untuk memohon moratorium di mana kelulusan adalah secara automatik.

"Jika anda menghadapi pengurangan pendapatan, tidak kira anda M40 atau T20, anda juga layak untuk menerima pengurangan ansuran bulanan," katanya


-Astro Awani