top of page
  • newsatmy

Maaf…saya tidak kenal dia – Rossa

14 Disember 2021

PETALING JAYA: Penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa, 43, menjelaskan tidak mengenali usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkifli, 27, yang didakwa ingin mendekati dirinya.


Rossa mengakui ada bertemu individu dari Malaysia yang ingin bergambar dengannya namun tidak mengetahui hasrat lanjut individu berkenaan.


“Maaf, saya tidak mengenali dirinya. Siapa itu yang mahu kenal saya dengan lebih dekat?


“Tetapi, pada hari itu (ketika hadir di acara tayangan perdana filem) memang ada seseorang yang bertemu saya dan perkenalkan dirinya dari Malaysia untuk minta bergambar sama.


“Saya okey saja jika peminat minta bergambar dan sesudah itu terus berlalu. Jadi, saya hanya menganggapnya sebagai peminat,” ujar Rossa.


Rossa yang ditemui ketika sidang media virtual single terbaharu berjudul Terlalu Berharap pada pagi Isnin.


Rossa atau pemilik nama penuh, Sri Rossa Roslaina Handiyani berkongsi ada berjumpa individu berkenaan ketika menghadiri tayangan perdana filem Love Knots di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.


“Saya tiada masalah sekiranya sesiapa ingin bersahabat seperti rakan-rakan yang lain juga. Saya menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT kerana Dia lebih mengetahui.


“Saya yakin sekiranya ada jodoh pasti tiba masanya satu hari nanti. Namun, buat masa ini saya masih sendiri dan tiada teman istimewa,” kata Rossa.


Terdahulu, diva Indonesia itu pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo pada 2004.


Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadhan, 15.

bottom of page