- zaman
MAG catat keuntungan

PETALING JAYA, 19 April- Malaysia Aviation Group (MAG) merekodkan prestasi kewangan yang kukuh dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.146 bilion pada suku keempat, tahun lepas.
Prestasi memberangsangkan itu disokong oleh permintaan kukuh dan hasil yang lebih tinggi merentasi pelbagai segmen penumpang serta kargo.
"Pencapaian prestasi cemerlang ini berikutan pihak kami telah mengetahui siapa sasaran penumpang kami.
"Pasaran penerbangan ini mempunyai tiga kategori. Pertama premium diikuti tambang rendah dan seterusnya antara kedua-dua kategori itu. Jadi, kami sangat jelas pelanggan kami adalah premium," kata Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail.
Bercakap pada sidang media pengumuman prestasi kewangan MAG 2022, jelasnya bagi keseluruhan tahun lalu, keuntungan operasi bersih berjumlah RM556 juta.
Manakala, kerugian bersih selepas faedah dan cukai susut 79% kepada RM344 juta berbanding RM1.65 bilion tahun sebelumnya.
Baki tunai pula berada pada paras RM4.6 bilion setakat 31 Disember 2022.