• newsatmy

MAG perlu dana lebih RM3.6 bilion.

15 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) dijangka memerlukan dana yang lebih tinggi berbanding RM3.6 bilion yang diberikan Khazanah Nasional Bhd bagi membolehkan syarikat induk Malaysia Airlines itu meneruskan operasinya.


Khazanah sebelum ini menyatakan komitmen untuk menyuntik dana RM3.6 bilion bagi menampung kos kumpulan itu sepanjang tempoh penstrukturan sehingga 2025.


Penganalisis Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof, berkata peruntukan itu dilihat tidak mencukupi sehingga 2025 di tengah-tengah situasi sukar yang ditempuhi industri penerbangan.


"Kos pemajakan pesawat, kos operasi, penggajian kakitangan serta peningkatan harga minyak. Ini semua perlu dipertimbangkan," katanya kepada BH.


Shukor berkata, industri penerbangan juga dijangka mengambil masa yang lebih panjang untuk kembali pulih sepenuhnya sekitar tiga hingga lima tahun atau melebihi tempoh itu.


Malah, tegasnya, pemulihan industri sukar untuk diramalkan walaupun kebanyakan negara termasuk Malaysia sudah bersedia dengan program vaksin COVID-19.


Katanya, suntikan dana dari Khazanah itu juga mempunyai risiko tinggi jika MAG gagal meraih keuntungan pada 2025.


"Penyusunan semula perlu lengkap termasuk pengurangan pekerja ketika pesawat tidak banyak beroperasi. MAG perlu memikirkan adakah wajar mempertahankan pekerja walaupun majoriti pesawat tidak akan beroperasi dalam waktu terdekat," katanya.


Pakar penerbangan yang juga Dekan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), Dr Mohd Hafizi Shamsudin bagaimanapun berpandangan, suntikan dana Khazanah itu perlu dan tepat pada masanya bagi membantu MAG keluar daripada kemelut sedia ada.


"Saya melihat ini adalah peluang terbaik kepada MAG bagi melakukan 'reset' kepada situasi yang dihadapi beberapa tahun kebelakangan ini.


"MAG perlu mengambil pendekatan yang holistik dan strategik, mengambil kira jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang bagi melihat peluang sedia ada dalam situasi COVID-19 yang masih samar," katanya.


Mohd Hafizi berkata, dalam jangka masa pendek, ia boleh mengambil peluang dengan memberi fokus kepada peningkatan trend penerbangan kargo yang ketara.


"Suntikan yang diberikan tidak boleh hanya dilihat daripada keuntungan MAG sahaja, tetapi limpahan daripada penstrukturan itu juga akan dapat dirasai oleh sektor lain.


"Ini khususnya dalam lima sektor penting yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030 iaitu hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO); pembuatan aero; integrasi sistem; kejuruteraan dan perkhidmatan reka bentuk serta latihan dan pendidikan," katanya,


Sementara itu, pakar ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata MAG mampu meneruskan operasi berdasarkan dana yang diberikan Khazanah, namun perlu segera menumpukan kepada usaha menambahkan pendapatan.


Beliau berkata, apabila sesebuah syarikat mengalami masalah kewangan, dua langkah yang perlu dilakukan ialah usaha menambahkan pendapatan serta mengurangkan kos operasi, kos pembiayaan dan kos pelaburan.


"Ini bermakna, selepas ini MAG harus segera menumpukan kepada usaha menambahkan pendapatan kerana jika pendapatan tidak dapat dijana, ia tidak akan membawa syarikat keluar daripada masalah.


"Ini kerana, kos operasi yang sedia ada akan berterusan meletakkan syarikat dalam kedudukan kewangan yang lemah.


"Justeru, peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencipta peluang pendapatan baharu dan mungkin menambah baik aset perniagaan supaya masih mampu kekal berdaya saing dan mampan dalam industri penerbangan," katanya.


Ahmed Razman berkata, laporan Khazanah pada 2019 menunjukkan sayap pelaburan kerajaan itu mempunyai jumlah aset sebanyak RM83 bilion dengan aset semasa lebih RM8 bilion.


Justeru, tegasnya, Khazanah masih lagi mempunyai kapasiti memperuntukkan RM3.6 bilion kepada MAG dan tidak memerlukan peruntukan daripada kerajaan.


-Berita Harian

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.