top of page
Writer's pictureMatha Ahmad

MAHA 2022: 9 MoU babit pelaburan lebih RM4 bilion bakal dimeterai


SERDANG,1 Ogos: Sembilan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan nilai pelaburan lebih RM4 bilion akan ditandatangani Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan pemain industri pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pemeteraian MoU itu akan membabitkan pemain industri dari dalam dan luar negara, sepanjang tempoh penganjuran pameran berkenaan dari 4 hingga 14 Ogos ini.

“Kita melihat sambutan pihak industri dan pemain tempatan, tentu ia akan memberi suatu ruang pameran ekspo (MAHA) yang dinantikan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.


MAHA 2022 akan dimeriahkan dengan lapan laman pertanian sebagai tarikan pengunjung, iaitu Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-buahan, Laman Nanas, Laman Jentera dan Laman Florikultur.


Beliau berkata, MAHA 2022 yang bertema ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ akan mengetengahkan banyak pendekatan baharu dan mekanisasi, termasuk Internet benda (IoT) serta penemuan teknologi baharu dalam mempertingkatkan produktiviti.

“Ruang pameran (MAHA) akan memberi ruang kepada pemain industri kecil, sederhana dan besar untuk mempromosikan produk hiliran daripada sektor pertanian ini,” katanya.


Ronald berkata, kesemua lapan laman itu mempunyai tarikan tersendiri, bergantung pada minat pengunjung dalam industri pertanian.

“Bagi pengunjung yang ingin melihat sawah, mereka akan berkunjung ke laman padi. Mereka yang ingin melihat sektor perikanan pula, tentunya akan berkunjung ke laman perikanan,” katanya.

Comments


bottom of page