top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

MAINJ peruntuk RM3 juta bantu mangsa banjir-Tosrin Jarvanthi

13 Janauri 2022

JOHOR BAHRU-Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata RM802,000 daripada jumlah itu akan diberikan kepada Pejabat Daerah Tangkak, Muar dan Segamat selain Masjid Kampung Liang Batu dan Sekolah Agama Liang Batu di Muar, serta surau-surau pada Ahad ini.


Beliau berkata bantuan adalah dalam bentuk barangan serta wang tunai bagi kerosakan rumah, harta benda dan barangan keperluan sekolah.

“Bantuan dalam bentuk barangan dan wang tunai akan diberikan bergantung kepada kerosakan yang dialami dan apa yang dipohon dalam borang yang diedarkan MAINJ.

“Seperti bantuan kerosakan rumah, minimum bantuan adalah sebanyak RM5,000,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan Misi Bantuan Pascabanjir, di Johor Bahru hari ini.


Tosrin berkata dianggarkan seramai 500 hingga 800 individu terjejas banjir di setiap daerah akan mendapat manfaat bantuan itu.

Selain itu, katanya, enam masjid di negeri ini yang mengalami kerosakan akibat banjir, iaitu tiga di Segamat, dua di Tangkak dan satu di Muar, masing-masing akan menerima bantuan RM30,000.


Sementara itu, Tosrin berkata seramai 200 kakitangan MAINJ dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan melakukan kerja-kerja pembersihan rumah di kawasan terjejas

banjir di Segamat pada hari ini serta mengagihkan bantuan sebanyak 200 set dapur memasak dan tong gas.


Banjir yang melanda Johor semenjak 1 Jan lepas telah menjejaskan tujuh daerah, namun setakat 8 pagi tadi hanya tiga daerah terlibat iaitu Segamat, Tangkak dan Muar dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 705 orang daripada 206 keluarga di 17 pusat pemindahan sementara.



- Bernama

bottom of page