• Syafiq

Majlis Pemulihan Negara disertai pelbagai pihak untuk jamin proses semak dan imbang - Tengku Zafrul

24 Julai 2021

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dibentuk untuk memantau kelancaran pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan pelbagai pihak dalam memastikan input-input bernas dapat dikumpul untuk dipertimbangkan.


Kata Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, selain pakar-pakar bidang berkaitan, pihak pembangkang juga turut terlibat dalam memastikan ketelusan dan proses semak dan imbang dapat dilakukan sepanjang masa.


“Selaras dengan pendekatan 'whole of nation', kita pun sebenarnya sudah mula berjumpa dengan pelbagai pihak dan menjemput pihak pembangkang daripada Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang.


“Jadi saya percaya penglibatan mereka dalam MPN ini akan memberi impak positif dari segi perbincangan idea-idea yang bagus yang boleh diselaraskan untuk kita ambil tindakan,” jelasnya.


MPN adalah ‘penjenamaan semula’ daripada Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang dibentuk untuk mengelola rancangan pemulihan negara daripada krisis disebabkan pandemik COVID-19.


Majlis berkenaan mengalu-alukan pakar daripada pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.


Antara mereka yang menyertai majlis tersebut adalah Prof Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman, Tan Sri Anthony Fernandes, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Datuk Dr Hartini Zainuddin, Dr Sivakumar Thurairajasingam, Tan Sri Datuk Azman Mokhtar, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Datuk Michael Kang dan Datuk Seri Wong Chun Wai.