• newsatmy

Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama ditubuhkan

5 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Ia dianggotai 21 menteri, empat ketua jabatan, dua ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan tiga wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina dan India.


Ia turut disertai tokoh-tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan sosial, menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.


"MTKB berperanan menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.


"Ini termasuk menetapkan sasaran, indikator makro dan KPI (indeks prestasi utama) bagi sektor-sektor penting dalam pembangunan negara yang akan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi mencapai objektif WKB 2030," katanya.


Mesyuarat pertama MTKB diadakan semalam (4 Mei).


Antara tokoh-tokoh yang dilantik sebagai ahli MKTB ialah Tan Sri Sulaiman Mahboob, Tan Sri Azman Mokhtar, Datin Paduka Dr Aini Ideris, Datuk Dr Asma Ismail, Datuk Dr Madeline Berma dan Prof Datuk Dr Denison Jayasooria.


Turut diwujudkan, Jawatankuasa Eksekutif Kemakmuran Bersama (JEKB) yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.


Sementara itu, menurut PMO, Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat MTKB.


-Astro Awani